Pelantikan Mueller yang turut dikenali sebagai ‘Bobby Three Sticks’ sebagai penasihat khas itu disambut baik oleh anggota parti Demokrat dan parti Republikan yang memuji reputasi dan integriti beliau.

Namanya dicadangkan oleh Timbalan Peguam Negara, Rod Rosenstein manakala siasatan tersebut akan dilaksanakan seren­tak dengan siasatan yang dilakukan FBI dan Kongres AS.

Sukar untuk memecat Mueller kerana berdasarkan rekod lampau, pelantikan penasihat khas itu dilakukan secara bebas dan berautonomi.

Melalui jawatan tersebut, beliau mempunyai kebebasan yang luas untuk menentukan arah siasatan itu dan boleh menggunakan semua perkakasan siasatan Jabatan Kehakiman.

Mueller dikenali sebagai tokoh yang akan mengelak kontroversi politik malah pada 2004, beliau dan bekas pengarah FBI, James Comey yang dahulu memegang jawatan Timbalan Peguam Negara pernah mengancam untuk meletak jawatan.

Ini berikutan kepemimpinan bekas presiden George Bush cuba mengambil alih program intipan melalui telefon yang diputuskan oleh Jabatan Kehakiman sebagai tidak berpelembagaan.

Beliau dilantik sebagai pengarah FBI semasa kepemimpinan Bush iaitu seminggu sebelum tragedi 11 September 2001 dan serangan di New York serta Wa­shington D.C.

Sementara itu, Jawatankuasa Perisikan Senat menjemput Comey untuk memberi ketera­ngan melalui pendengaran secara terbuka dan tertutup selain memberinya peluang untuk mengemukakan laporan yang diminta Trump untuk diserahkan kepada bekas Penasihat Keselamatan Negara, Michael T. Flynn.

“Saya fikir tidak ada seorang pun yang pernah saya berbual secara terbuka atau persendirian dari parti Demokrat atau Republikan yang tidak memikirkan bahawa Comey berhak mendapat peluang untuk menceritakan per­ka­ra sebenar bagi pihaknya,” kata Senator Mark Warner.

Dalam pada itu, Trump sema­lam telah menemuduga calon berpotensi untuk mengetuai FBI termasuk bekas Senator Connecticut, Joe Lieberman; bekas Gabenor Oklahoma, Frank Kea­ting dan pemangku pengarah FBI, Andrew McCabe. – Agensi