Timbalan Presidennya, Khairil Anuar Khalid berkata, setakat petang semalam, seramai 1,948 mangsa gempa dan tsunami di Sulawesi Tengah telah terkorban manakala 10,697 lagi yang cedera seperti yang dilaporkan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre).

“Memandangkan banyak Pusat Kesihatan Masyarakat di kawasan ini mengalami kerosakan sehingga menyukarkan mangsa untuk mendapat rawatan, kita mengambil inisiatif untuk memulakan fasa pertama bantuan kemanusiaan yang berpusat di Palu dan menumpukan kepada bantuan asas mengikut keperluan.

“Aspek perubatan amat diperlukan ketika ini berikutan kerisauan terhadap penyakit kulit, kolera dan trauma. Setakat ini, MRA telah memberi sumbangan kepada 100 keluarga mangsa gempa bumi di sini dalam bentuk pek makanan asas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairil Anuar berkata, pihaknya akan menyalurkan lebih banyak sumbangan pek makanan asas, susu bayi dan lampin pakai buang dalam masa terdekat buat mangsa gempa bumi di situ.

Katanya, rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation. - UTUSAN 0NLINE