Timbalan Komander Biro Pen­cegahan Narkotik (NSB) Thailand, Mejar Jeneral Supakit Srijantaranon berkata, suspek yang merupakan rakyat Malaysia dan ber­asal dari Johor itu adalah ‘orang kanan’ kepada sindiket tersebut.

Untuk itu jelasnya, NSB sedang menggiatkan usaha memburu dalang terbabit selepas melakukan soal siasat ke atas suspek.

“Dalang sebenar semakin terjerat berikutan penahanan orang kanannya terutama ‘Mr. T’. Selain ‘Mr. T’, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki warga Taiwan dan dua wanita rakyat tempatan,” katanya.

Pada Rabu lalu, ‘Mr. T’ ditahan di lapangan terbang tersebut sebaik sahaja tiba dari Chiang Rai.

Suspek dipercayai memainkan peranan penting dalam menyeludup beratus-ratus kilogram dadah jenis methamphetamine.

Supakit berkata, pihak berkuasa mengesyaki penglibatan seorang lagi tokoh lebih besar selain ‘Mr. T’ selepas membuat perbandingan asetnya dengan nilai dan kuantiti dadah yang di­seludup sindiket itu ke Malaysia sebelum ini.

Menurutnya, sindiket itu telah melakukan lima kali penyeludupan dadah ke Malaysia sebelum gagal pada percubaan keenam pada Mac tahun lalu apabila pihak berkuasa Thailand memintas 282 kilogram methamphetamine di Sadao dan menahan dua lelaki warga Malaysia.

“Kedua-dua suspek telah men­dedahkan operasi sindiket tersebut serta pembabitan ‘Mr. T’. Setiap percubaan menyeludup da­dah membabitkan ratusan kilogram methamphetamine bernilai lebih 1 bilion bath (RM126 juta),” katanya.

Beliau menambah, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menghantar pegawai­nya ke Bangkok bagi mengumpul lebih banyak maklumat risikan mengenai sindiket tersebut. –BERNAMA