Kemarahan itu bukan sahaja dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia, malah masyarakat bukan Islam juga melihat tindakan Trump itu akan menjerumuskan Israel ke kancah peperangan lebih besar.

Presiden Rusia, Vladimir Putin misalnya, menyifatkan Israel sengaja ‘mencurah minyak ke dalam api’ apabila memindahkan ibu negara dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis dan ia pula disokong oleh AS.

Pemindahan itu membawa banyak implikasi termasuk cengkaman lebih kuat tentera Zionis ke atas Masjid al-Aqsa yang juga masjid ketiga paling suci umat Islam yang terletak di wilayah tersebut.

Trump langsung tidak menghiraukan tentang lebih tiga per empat tanah rakyat Palestin yang telah dirampas oleh pendatang haram Yahudi dan regim Zionis sejak tahun 1948 sehinggalah kini. Malah, sidang Deklarasi Istanbul pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) Rabu lalu sepakat memutuskan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Justeru, pemindahan pusat pemerintahan Zionis ke Baitul–muqaddis itu dilihat sebagai suatu perancangan drastik Israel bagi menguasai sepenuhnya wilayah terpenting di Palestin itu.

Langkah itu bukan sahaja dilihat daripada sudut kepentingan politik dan penguasaan wilayah yang diduduki oleh Israel tetapi ia juga melangkaui aspek-aspek lain termasuk soal keagamaan.

Ia antara lain kepercayaan tentang kewujudan Kuil Sulaiman yang dipercayai tertanam di bawah Masjid al-Aqsa yang perlu dibangunkan semula demi kebangkitan semula bangsa Yahudi.

Mereka juga percaya kuil yang pernah dimusnahkan oleh bangsa Babylon dan empayar Rom setelah ia didirikan pada tahun 960 Sebelum Masihi itu tempat munculnya ‘pemimpin yang dinantikan’.

Sebab itu, tidak hairanlah Zionis sangat berharap agar mereka dapat menguasai kawasan di sekitar Masjid al-Aqsa dan sekali gus memus–nahkannya demi memenuhi ‘keyakinan’ tersebut.

KEDUDUKAN PALESTIN

PALESTIN terletak di antara Laut Tengah dan Sungai Jordan. Sebahagian besar negara di dunia termasuk negara-negara OIC, Liga Arab dan ASEAN telah lama mengakui kewujudan negara ini.

Wilayah Palestin terbahagi kepada dua entiti politik iaitu wilayah yang majoritinya diduduki secara haram oleh Israel dan pendatang Yahudi, manakala satu lagi di bawah Pihak Berkuasa Palestin. Deklarasi Kemerdekaan Palestin telah diumumkan oleh Yasser Arafat di Algiers selaku pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 15 November 1988 tentang kewujudan negara itu. Sebelum itu pun, Liga Arab pada 1974 telah menetapkan Yasser sebagai wakil rakyat Palestin bersama PLO selain mempunyai status pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada 1993 Israel pula melalui Perjanjian Oslo mengakui peranan PLO selain pada masa sama mahukan perdamaian bersama melalui Resolusi 242 dan 338 di bawah Majlis Keselamatan PBB.

Namun, itu bukan bermakna kerakusan Israel dalam terus menjarah wilayah Palestin telah terhenti, sebaliknya ia terus berlaku dari semasa ke semasa sejak dari dulu sehinggalah ke hari ini.

Ketika Palestin dipimpin oleh dua parti berasingan iaitu Hamas di Semenanjung Gaza dan Fatah di Tebing Barat, Israel cukup bijak dalam mengambil peluang di atas perpecahan rakyat Palestin itu.

Sifat tamak dan jahat Israel yang langsung tidak mempedulikan kutukan masyarakat antarabangsa dapat dilihat apabila tanah-tanah Palestin terus diceroboh oleh para pendatang Yahudi.

Pada April 2011, Hamas dan Fatah telah menandatangani perjanjian damai tetapi pelaksanaannya masih belum mencapai objektif yang diharapkan yang mana ia banyak menguntungkan Israel.

Sehingga kini lebih 129 buah negara yang berada di bawah PBB telah mengakui kewujudan Palestin dan menyokong hak-haknya sebagai sebuah negara yang sah walaupun ia terus dicabuli Israel.

JADI REBUTAN

ANTARA tiga agama utama di dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sejak sekian lama menganggap tanah di Palestin suci mengikut sejarah dan latar belakang agama masing-masing.

Bagi umat Islam di tanah itulah terletaknya Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama mereka dan masjid ketiga paling utama selepas Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Sementara kaum Yahudi percaya tanah Palestin terutama di sekitar Baitulmuqaddis adalah ‘tanah yang dijanjikan Tuhan’ yang merupakan negeri asal usul keturunan mereka ribuan tahun lalu.

Orang Yahudi juga percaya di Palestin terletaknya Kuil Sulaiman yang dipercayai tertanam di Bukit Zion yang merupakan tempat ibadat mereka yang perlu dicari serta dibangunkan semula.

Sementara itu, penganut agama Kristian pula turut menganggap tanah Palestin sebagai suci kerana di situ juga terletaknya Kuil Nazareth yang menjadi tempat kelahiran Nabi Isa dan tempat disalib.

KONFLIK 
PALESTIN - ISRAEL

KONFLIK yang berlaku itu paling hebat sejak 15 Mei 1948 apabila tarikh itu dipilih sebagai tarikh rasmi penubuhan negara haram Israel yang kuat didokong oleh sekutu rapatnya iaitu AS.

Sebelum itu, British yang diketuai oleh General Allenby telah terlebih dahulu menguasai Palestin iaitu pada 1917 apabila mereka berjaya mengalahkan tentera Uthmaniyyah di Turki di sana.

Perjanjian Balfour yang didalangi oleh British pada 2 November 1917 juga menjadi antara sebab penjajahan era moden Palestin yang mana ia tidak memihak kepada rakyat Palestin.

HOLOCAUST

KETIKA era Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1941 hingga 1945 tentera Nazi di bawah pimpinan Adolf Hitler telah membunuh lebih enam juta bangsa Yahudi antaranya dari Poland dan Rusia.

Pembunuhan kejam secara beramai-ramai itu dilakukan ketika tentera-tentera Nazi menguasai wilayah-wilayah di Eropah termasuk di kem tahanan Yahudi terkenal Auschwitz di Poland.

PENAKLUKAN

PALESTIN kekal di bawah kerajaan Rom sehinggalah zaman Nabi Muhammad SAW yang menubuhkan empayar Islam dan ketika zaman kegemilangan itu iaitu pada tahun 632 Masihi Palestin dikuasai.

Sejak itu, pihak Kristian juga berusaha untuk menakluki semula Palestin apabila Pope Alexander II memulakan kempen Perang Salib dan akhirnya berjaya merampasnya pada tahun 1099 Masihi.

Namun, penaklukan itu terus bertukar tangan apabila pada 1291 kubu terakhir tentera salib berjaya dimusnahkan dan Palestin berjaya dibebaskan sepenuhnya oleh Salahuddin Al Ayubi sehingga ke zaman empayar Uthmaniyyah.

Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul, Turki tidak bertahan lama iaitu pada tahun 1922 mula menyaksikan zaman kejatuhan pemerintahan sistem khalifah itu. Pada 3 Mac 1924 khalifah terakhir empayar itu, Khalifah Abdul Mejid II secara rasminya ditamatkan pemerintahannya dan bermulalah era Mustafa Kamal Attartuk yang memulakan sistem sekular.

JANJI TRUMP

KEPUTUSAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan keputusan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu mencetuskan kemarahan dunia.

Ternyata 57 negara anggota OIC telah menentang sokongan Trump itu dalam Sidang Kemuncak OIC di Istanbul, Turki minggu ini dan memutuskan ia tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Malah, Kesatuan Eropah (EU) sebelum itu juga menolak keputusan Trump itu, selain Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menyatakan pendirian yang sama.

Pengiktirafan yang dibuat oleh Trump itu memang tidak mengejutkan kerana ia salah satu cara beliau mengotakan janjinya sewaktu berkempen dalam pilihan raya Presiden AS yang ke-45 lalu.

PEMBABITAN AS

AS selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel, sekali gus mempengaruhi PBB dalam mengiktiraf negara Zionis itu.

Ia ekoran tindakan Presiden AS ketika itu, Harry Truman yang telah mengiktiraf Israel sebuah negara dalam satu persidangan di PBB pada 16 May 1948 sehingga tertubuhnya kerajaan Zionis.

Selepas itu, Chaim Weizmann yang menjadi Perdana Menteri Israel pertama telah mewujudkan penempatan-penempatan haram Yahudi dengan merampas tanah-tanah rakyat Palestin.