Menurut portal berita BBC, puluhan askar Iraq meraikan kejayaan itu berhampiran runtuhan ba­ngunan di tebing Su­ngai Tigris apabila di­lihat menari mengikut ira­ma muzik yang dimainkan menerusi sebuah trak dan melepaskan tembakan ke uda­ra.

Kemenangan ras­mi itu diumumkan oleh Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi.

Mosul adalah bandar terbesar di Iraq yang ditawan militan Daesh yang pernah menguasai sebahagian besar negara ini pada 2014.

Pasukan tentera Iraq yang disokong oleh serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) te­lah menjalankan misi besar-besaran untuk merebut semula Mosul sejak 17 Oktober tahun lepas.

Bulan lalu, Masjid Besar al-Nuri dan menara condong berse­belahannya yang cukup terkenal serta menjadi ikon bandar Mosul, dilaporkan musnah dalam sera­ngan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan tersebut.

Haider berkata, kemusnahan masjid berkenaan adalah ‘pengisytiharan kekalahan’ Daesh dalam pertempuran lapan bulan untuk menguasai Mosul.

Semalam, Komander tentera Iraq memberitahu, pasukannya bertempur dari rumah ke rumah dengan militan Daesh yang berlindung di kawasan kejiranan yang padat menyebabkan berpuluh-puluh pengganas terma­suk warga asing terbunuh.

Seramai 35 anggota militan turut terbunuh manakala enam lagi berjaya ditangkap pasukan keselamatan Iraq ketika cuba me­larikan diri dengan menyeberangi Su­ngai Tigris.

Komander Kanan Pasukan An­ti Pengganas Iraq, Leftenan Jeneral Abdulghani al-Assadi berkata, kumpulan itu cuba melepasi bahagian barat Su­ngai Tigris namun berjaya dikepung pasukan keselamatan yang berkawal di lokasi.

Walaupun tentera Iraq berpesta tetapi sejuta penduduk Mosul yang menjadi pelarian akibat pepera­ngan itu masih sangsi de­ngan nasib mereka.

“Sekiranya tiada pembinaan semula dan penduduk tidak kembali ke kediaman masing-masing, apakah makna kemenangan itu?” soal penduduk, Mohammed Haji Ahmed, 43, yang kini tinggal di kem pelarian di timur Mosul. – REUTERS