Gambar itu menjadi tular enam tahun lalu apabila Naruto yang merupakan monyet spesies Rhesus atau lebih dikenali sebagai monyet Macaque Rhesus terakam tanpa sengaja swafoto dirinya sendiri sambil tersenyum menggunakan kamera seorang jurugambar, David Slater.

Kejadian itu berlaku apabila Slater sedang melakukan tugasannya di dalam Hutan Simpan Tangkoko di Sulawesi, Indonesia. Dalam kejadian itu, Slater meninggalkan kameranya sebentar di sebuah tempat di hutan itu.

Tidak beberapa lama kemudian, dia berpatah balik dan mendapati seekor monyet Macaque Rhesus sedang memegang kameranya, sambil membelek-beleknya dengan melihat imejnya pada lensa kamera.

Monyet itu secara tidak sengaja memetik butang kamera yang sedang menghala ke arah mukanya yang sedang tersenyum.

Gambar itu kemudian tersebar dan menjadi tular dan Slater menerbitkan buku yang menjadikan gambar monyet itu sebagai penghias kulit depan.

Keadaan itu mendorong Persatuan Hak Asasi Haiwan (PETA) memfailkan saman bagi pihak Naruto dengan mendakwa haiwan yang tidak mempunyai akal fikiran mempunyai hak cipta terhadap hasil kreatif seperti gambar itu.

Pada 2016, mahkamah memutuskan penjaga Naruto boleh memfailkan saman terhadap kes itu bagi pihak namanya sendiri tetapi mengikut Akta Hak Cipta, undang-undang itu hanya terpakai kepada manusia.

Mahkamah Rayuan kemudian memutuskan menolak saman daripada pihak PETA.

Hakim Carlos Bea dalam hujahnya berkata, Akta Hak Cipta yang wujud itu tidak memasukkan haiwan sebagai pihak yang dibenarkan untuk mengemukakan saman.

Monyet dari Indonesia itu dianggap spesies diancam kepupusan setelah habitatnya musnah, selain diburu manusia untuk mendapatkan dagingnya. – WWW.THEGUARDIAN.CO.UK