Tindakan yang disertai oleh 1,000 pemandu itu menyebabkan perkhidmatan dari selatan England dengan London termasuk ke Lapangan Terbang Gatwick terpaksa dihentikan.

Pemandu syarikat Southern Rail dilaporkan melancarkan mogok selama 48 jam sejak awal pagi ini berikutan pertikaian tentang tugas untuk menutup dan membuka pintu kereta api.

Malah, satu lagi mogok turut dirancang pada Jumaat ini dan juga selama enam hari pada bulan depan.

Syarikat Southern Rail, yang dikendalikan oleh Govia Thameslink Railway (GTR), menyatakan, 2,284 perkhidmatan kereta api kendaliannya terpaksa dihentikan ekoran masalah tersebut.

Menurut media tempatan, gangguan perkhidmatan tersebut disifatkan paling terburuk dalam sejarah Britain sejak mogok oleh pekerja isyarat pada pertengahan tahun 1990-an.

Beribu-ribu pengguna dilaporkan terpaksa berdepan pembatalan dan penangguhan perkhidmatan sejak beberapa bulan lalu kerana masalah melibatkan kakitangan dan konduktor yang bertanggungjawab mengendalikan pintu pengangkutan awam tersebut.

Pihak kesatuan sekerja sebelum ini menolak tindakan Southern Rail yang mahu me­ningkatkan penggunaan kereta api tanpa pemandu bagi mengurangkan peranan konduktor ke­selamatan.

Syarikat yang mengendalikan 620,000 perjalanan penumpang sehari, gagal dalam usahanya membawa isu itu ke mahkamah semalam untuk mengelakkan mogok berlaku, turut dipersalahkan kerana masalah yang rumit itu.

“Cara terbaik untuk menyelesaikannya adalah untuk duduk semeja dengan kesatuan sekerja dan membincangkan apa jawapannya.

“Jika mereka masih bertegas mahu meneruskan mogok ini, ratusan penumpang terpaksa menanggung akibatnya,” kata Ketua Pegawai Operasi Southern Rail, Nick Brown kepada radio BBC. – REUTERS