Lapor Metro UK, ahli kesatuan Unite yang bekerja di bawah syarikat kapal terbang Swissport melancarkan mogok sejak Jumaat lalu ketika orang ramai sedang sibuk untuk pulang bercuti sempena perayaan Hari Natal.

Lebih 1,500 orang berkumpul bagi menuntut kenaikan gaji dan syarat-syarat yang tidak dinyatakan kepada majikan mereka.

Menurut kenyataan Unite, ahli-ahli mengundi sebanyak 62.5 peratus untuk menolak 4.65 peratus perjanjian gaji selama tiga tahun bagi tempoh 2015 hingga 2017.

Tambah kenyataan itu, perjanjian itu hampir selaras dengan kadar inflasi.

Namun, mogok itu diberhentikan serta merta selepas Swissport bersetuju mengadakan rundingan baharu bersama pihak Unite.

Setiausaha Agung Unite, Len McCluskey berkata, tawaran gaji yang lebih baik telah dicadangkan oleh mereka.

Mogok itu telah menyebabkan lapangan terbang seperti Gatwick, Heathrow, Manchester, Birmingham, Glasgow, East Midlands, Stansted dan Belfast terpaksa menangguhkan penerbangan mereka.-UTUSAN ONLINE