Portal berita BBC me­laporkan, keranda batu itu mengandungi tiga rangka manusia terendam dalam air kumbahan berwarna coklat yang mengeluarkan bau busuk.

Kementerian Antikuiti Mesir telah mengarahkan anggota jawatankuasa ar­keologi untuk membuka dan mengeluarkan keranda yang ditemukan di tapak pembinaan tersebut.

Menurut agensi berita Mesir, El-Watan, pasukan itu pada awalnya membuka sedikit penutup keranda tersebut namun bau busuk yang terlalu kuat memaksa mereka keluar dan kemudian kembali semula selepas mendapatkan bantuan daripada jurutera tentera Mesir.

“Kami dapati ada tiga rangka manusia seperti pe­ngebumian keluarga. Malangnya mumia tersebut tidak berada dalam ke­adaan baik, hanya tulang,” kata Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri.

Mengulas ketakutan media bahawa usaha memindahkan keranda itu itu boleh mencetuskan sum­pahan, Mostafa menjelaskan, pihaknya tidak me­ngalami sebarang masalah selepas usaha itu dilakukan.

Namun kawasan tapak pembinaan tersebut terpaksa ditutup sementara kerana sarkofagus ber­kenaan dikhuatiri dapat membebaskan asap beracun yang berbahaya.

Pakar berkata, tiga individu di dalam keranda itu mungkin adalah tentera pada zaman Firaun kerana keretakan yang dilihat pada tengkorak satu daripadanya menunjukkan ke­­san kecederaan akibat dipanah.

Patung alabaster juga ditemukan di dalam keranda yang merupakan sarko­fagus paling besar yang pernah ditemukan masih utuh.

Keranda seberat 27 tan itu dipercayai dari zaman awal Ptolemaik, yang bermula pada 323 sebelum masihi.