Ketua Natural Aceh, Zainal Abidin Suarja berkata, kelawar yang mempunyai sayap sepanjang 1.7 hingga dua meter itu didapati terdapat di Aceh Besar dan dianggap sebagai spesies terancam.

Menurutnya, dia mendapat maklumat daripada seorang lelaki bernama Ikhwal yang menangkap spesies haiwan raksasa itu ketika melakukan kegiatan di daerah Saree, Aceh Besar pada Julai lalu.

“Namun, kita mendapat maklumat sebelum ini terdapat beberapa pihak menangkap kelawar raksasa itu dan kemudian membunuhnya lalu dibuang ke sungai.

“Tindakan itu dibuat pihak terbabit kerana mereka ketakutan haiwan itu akan menculik kanak-kanak dan haiwan peliharaan,” kata Zainal.

Berdasarkan maklumat itu, Zainal berkata, pasukan Natural Aceh membuat risikan dan mendapati beberapa kawasan sekitar daerah itu dilihat terdapat kelawar raksasa, namun sejak kebelakangan ini didapati hilang.

Katanya, pihaknya telah menangkap kira-kira 200 ekor kelawar untuk diteliti dan masih memburu haiwan tersebut.

Bagi memastikan rancangan itu berhasil, pasukan NGO memasang perangkap di empat lokasi berlainan iaitu di dalam gua, hutan, tanah lapang dan kampung. Mereka akan memeriksa setiap satu jam sekali untuk melihat sama ada haiwan tersebut terkena perangkap.

Katanya, pemerhatian kali ini tidak hanya fokus kepada kelawar raksasa sahaja tetapi juga kelawar lain dalam habitatnya.

“Kami mengambil masa empat bulan untuk mengenal pasti setiap spesies haiwan itu.

“Kami fokus kepada komposisi dan sifat kelawar di Gunung Seulawah,” kata Ketua Penyelidik Natural Aceh, Ellena Yusti. – Liputan6.