Seorang lelaki menuju ke sebuah kedai serbaneka dan bertanya kepada seorang pengurus sekiranya dia boleh merompak kedai itu. Apabila permintaan itu ditolak, dia berlalu pergi dan menyerah diri kepada pihak polis.

Percubaan pelik itu berlaku pada 5 Oktober lalu, di sebuah kedai serbaneka Lawson di Ogori City, Prefektur Fukuoka.

Menurut polis, lelaki yang tidak disebut namanya didakwa memasuki kedai itu pada pukul 1.40 pagi.

Dia memberitahu pengurus kedai terbabit dengan berkata: “Saya datang dengan niat untuk menakut-nakutkan anda dan merompak kedai ini. Bolehkah saya meminta anda bekerjasama dengan saya?”.

Tidak mendapat jawapan yang diharapkan, lelaki itu berpaling dan berjalan dengan senyap tanpa mengambil apa-apa barang di kedai tersebut.

Kira-kira lima minit kemudian, dia berjalan ke balai polis berdekatan dan mengaku cuba merompak sebuah kedai serbaneka.

Selepas memeriksa lelaki terbabit, pegawai menemukan pisau dapur yang tidak pernah dikeluarkan ketika bercakap dengan pengurus kedai itu.

Polis mendakwa lelaki terbabit atas tuduhan cuba merompak, tetapi masih menyiasat motif jenayah. – ODDITYCENTRAL