Warga Pakistan, Muhammed Ajmal Amir Iman, juga dikenali sebagai Kasab, adalah antara 10 anggota unit ala komando yang melancarkan serangan di pusat kewangan dan hiburan India ini dari 26 hingga 29 November lalu.

Sembilan penyerang itu ditembak mati oleh pasukan keselamatan, meninggalkan Ajmal bersendirian untuk menghadapi pelbagai tuduhan termasuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, keganasan, konspirasi, pencabulan undang-undang senjata dan imigresen.

Jika didapati bersalah, Ajmal, 21, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

"Kami akan memfailkan kertas pertuduhan di sebuah mahkamah di bandar raya ini. Ia merupakan dokumen tebal," kata komisioner polis Mumbai, Rakesh Maria kepada wartawan.

Agensi berita Press Trust of India memetik Pendakwa Raya, Ujwal Nikam sebagai berkata, kertas pertuduhan setebal hampir 5,000 muka itu meliputi bukti yang diterima daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).

Selain Ajmal dan sembilan rakannya yang dikatakan anggota Lashkar-e-Taiba (LeT), kertas pertuduhan juga menamakan kira-kira 20 lagi tertuduh yang dipercayai bersembunyi di Pakistan, kata seorang pegawai yang enggan dikenali.

Sejumlah 165 orang terbunuh dan 308 lagi cedera apabila Ajmal dan anggota kumpulannya menyerang beberapa sasaran di sini, termasuk hotel-hotel mewah, sebuah stesen kereta api, sebuah kafe dan sebuah pusat kebudayaan Yahudi. - AFP