Menurut laporan portal Wall Street Journal (WSJ), militan IS beralih kepada Telegram selepas mendapati media sosial popular yang lain seperti Facebook dan WhatsApp tidak selamat untuk berkomunikasi ekoran pemantauan agensi perisikan yang ketat terutamanya dari Amerika Syarikat (AS).

Jelas laporan itu, aplikasi Te­legram yang pada asalnya dibina untuk tujuan komersial dan permainan video digunakan oleh kumpulan pengganas bagi menyebarkan ideologi secara bersembunyi tanpa dihidu oleh pihak berkuasa.

Sabtu lalu, pihak berkuasa Malaysia melaporkan unit antikeganasan menahan empat suspek militan IS, tiga daripadanya direkrut oleh kumpulan itu di Syria menggunakan aplikasi Telegram dan Facebook.

Penahanan itu dibuat hanya beberapa hari selepas negara jiran, Indonesia digemparkan dengan serangan militan IS di Jakarta yang meragut lapan nyawa termasuk seorang rakyat Kanada.

Siasatan pihak berkuasa Indonesia juga mendapati, dalang serangan itu, Bahrun Naim berkomunikasi dengan kumpulan penyerang menggunakan Internet, tetapi aplikasi yang digunakan tidak didedahkan.

Namun Pengarah Institut Polisi Analisis Konflik, Sidney Jones percaya, Bahrun menggunakan aplikasi Telegram untuk berhubung dengan pengikut IS di Indonesia.

“Penggunaan Telegram memberi masalah kepada pihak berkuasa kerana perkhidmatan komunikasi ini tidak boleh dipintas dengan mudah,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Te­legram, Markus Ra berkata kepada WSJ, pada bulan November lalu, pihaknya telah menyekat 78 rangkaian awam melibatkan 12 bahasa yang mempunyai kaitan dengan IS susulan serangan berdarah di Paris yang mengorbankan 129 nyawa.

“Semua laporan berkaitan dengan militan IS dipadamkan serta-merta dan proses itu dilakukan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Meskipun tindakan tegas itu diambil, militan IS masih menggunakan Telegram untuk berkomunikasi, menyebarkan ideologi dan merekrut ahli baharu terutamanya di Asia Tenggara.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Media Asia Barat, Steve Stalinsky berkata, pihaknya memantau aktiviti pengganas menggunakan Internet dalam tempoh 10 tahun termasuk penggunaan blog dan forum pada permulaan sebelum beralih kepada Twitter dan kini tertumpu kepada Telegram.

“Militan IS atau pengikutnya mengambil peluang sepenuhnya terhadap kebebasan aplikasi tersebut,” katanya.