Menurut penduduk tempatan, mereka turut melihat berbelas-belas anggota Daesh berkawal di sekitar masjid lama itu sejak 48 jam yang lalu.

Dakwa mereka, bendera Daesh yang berwarna hitam turut dikibarkan di atas menara masjid sejak Mosul ditawan pada 2014.

Difahamkan, Daesh akan sedaya upaya mempertahankan ‘kubu terakhir’ mereka itu sekiranya diserang oleh tentera Iraq.

Dalam pada itu, Hisham al-Hashemi yang juga penasihat berkaitan isu pengganas kepada beberapa kerajaan di Asia Barat termasuk Iraq berkata, Daesh menyedari masjid itu menjadi sasaran utama ketika ini.

“Mereka (Daesh) juga sedang melakukan persediaan untuk bertempur di sini,” kata Hisham se­perti dilaporkan Al-Jazeera.

Tentera Iraq sebelum ini me­lancarkan operasi besar-besaran untuk menawan semula kota Mosul daripada cengkaman Daesh sejak Oktober tahun lepas.

Ketika ini, hampir 200,000 penduduk Mosul menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan sejak Daesh mengambil alih wilayah berkenaan.

Sementara itu, tujuh dilapor­kan maut manakala 23 lagi ce­dera terkena serangan mortar oleh Daesh ketika cuba melarikan diri dari daerah Zanjili hari ini, sebuah daerah yang masih dikuasai militan tersebut.