Amaran itu disuarakan oleh ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal ketika sesi pendengaran di Dewan Perwakilan berhubung tragedi Mamasapano, semalam, dan beliau turut menjelaskan tentang senario yang mungkin berlaku jika usul BBL tidak diluluskan sehingga pemerintahan Presiden Benigno Aquino III tamat.

“Pertama, kita akan terlepas peluang yang hanya muncul sekali sahaja dan tidak mungkin akan berlaku lagi untuk mengekalkan keamanan.

“Kedua, kekecewaan (penduduk Mindanao) akan bertambah berlipat ganda, sekali gus mencetuskan situasi huru-hara di wilayah di selatan negara ini,” katanya, sambil menambah kata, kegagalan Kongres meluluskan BBL akan memburukkan lagi masalah keamanan di selatan Filipina.

Menurut laporan portal GMA News, usul BBL yang dibentangkan oleh MILF sempena perjanjian damai dengan kerajaan Filipina, tertangguh akibat pertikaian tragedi di Mamasapano yang menyaksikan lebih 60 orang terbunuh termasuk 44 anggota komando elit polis, ekoran pertempuran antara pihak keselamatan dan kumpulan pemisah.

Mohagher berkata, kelewatan Kongres meluluskan BBL juga boleh memberi kesan terhadap kestabilan ekonomi dan pandangan antarabangsa terhadap keberkesanan perjanjian antara MILF dan Manila.

“Kita tidak tahu jika masyarakat antarabangsa, terutamanya pihak yang terlibat dalam perjanjian damai ini akan terus bersama (dengan kita) atau menarik diri.

“Malah pertumbuhan ekonomi negara ini juga akan menerima kesan kerana pelabur asing tidak akan mahu melabur di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama. Senator Ferdinand Marcos Jr. menuduh MILF menipu kerajaan ekoran tindakan Mohagher menggunakan nama samaran yang telah menimbulkan banyak keraguan dan boleh memberi kesan terhadap perjanjian damai antara kedua-dua pihak.

Beliau menggesa Mohagher memberi penjelasan tentang tindakannya itu kerana penggunaan nama samaran tidak dibenarkan mengikut undang-undang Filipina.

“Saya akan membangkitkan perkara ini bagi mendapatkan jawapan terhadap banyak persoalan yang timbul akibat penggunaan nama samaran oleh Mohagher.

“Kita perlu menilai sejauh mana tindakan beliau memberi kesan terhadap perjanjian damai,” katanya.