Teknologi berkenaan dikatakan mampu mengesan objek dan lokasi barangan yang diletakkan oleh si pemilik.

Mail Online melaporkan, tek­nologi berbentuk cermin mata realiti maya dan dikenali sebagai peranti Microsoft HoloLens itu berfungsi dengan merekod rupa bentuk benda apabila individu tersebut memegang sesuatu di depan kamera kecil pada cermin mata berkenaan.

Cermin mata tersebut akan merekod lokasi objek berdasarkan imbasan yang dibuat melalui peranti itu.

Pengguna Microsoft HoloLens perlu menanyakan soalan tentang lokasi objek sebelum skrin kecil pada penjuru cermin mata mengandaikan kedudukannya.

Microsoft HoloLens juga boleh digunakan bagi tujuan mengeluarkan amaran sekiranya pengguna tertinggal beg duit di restoran atau mana-mana premis.

Pakar percaya tek­nologi itu mempu­nyai manfaat kepada warga emas yang mengalami kesukaran mengingati objek yang diletakkan.

Ketua Dasar Persatuan Alzheimer, George McNamara berkata, teknologi itu dapat membantu pesakit nyanyuk untuk hidup berdikari lebih lama, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti hidup.

Sementara itu, jurucakap Microsoft mengesahkan firma berkenaan telah mendapat pa­ten untuk cermin mata tersebut namun tidak dapat memastikan tarikh Microsoft HoloLens akan berada di pasaran.