Michael Buble bersama anaknya Noah (dua dari kiri) dan Elias serta isterinya Luisana. Agensi

Penyanyi yang berasal dari Kanada itu meluahkan perasaannya dalam Facebook tetapi tidak memberi maklumat lanjut tentang jenis kan­ser yang dihidapi anaknya.

Dia hanya memaklumkan isterinya yang juga seorang pelakon kini bersara buat seketika untuk memberi tumpuan kepada Noah bagi memastikan anaknya sihat.

Menurut laporan portal BBC, Buble, 41, muncul di televisyen dan radio bagi mempromosikan album baharunya, Long Journey, baru-baru ini.

“Kami sangat sedih tentang setelah mendapat pengesahan penyakit kanser anak sulung kami, Noah yang kini menjalani rawatan di Amerika Syarikat (AS).”

“Kami sering menyuarakan tentang pentingnya keluarga dan kasih sayang terhadap anak-anak kami. Luisana dan saya bersara buat sementara daripada karier ma­sing-masing bagi membolehkan kami memberi tumpuan dan masa untuk membantu Noah sihat,’’ kata Buble.

Katanya lagi, dalam tempoh yang sukar ini dia berharap para peminat mendoakan mereka dan menghormati masa peri­badinya.

“Kami mempunyai perjalanan yang jauh di hadapan dan kami berharap dengan sokongan keluarga dan semua di seluruh dunia, kami akan berjaya dalam pertarungan ini,’’ katanya.

Buble dan Lopilato mempunyai seorang lagi anak lelaki, Elias yang berusia sembilan bulan.

Penyanyi itu mendedahkan berita berkenaan semasa ditemu bual dalam rancangan khas televisyen BBC One yang bertajuk Buble at the BBC yang ditonton oleh kira-kira 3.2 juta penonton.