Portal Channel News Asia me­laporkan, dua prototaip mi baharu dengan indeks glisemik lebih rendah diperkenalkan pada sesi pengenalan dan ujian rasa yang diadakan untuk pengeluar serta pengilang mi tempatan semalam.

Prototaip pertama yang merupakan mi kuning, dibuat dengan tambahan ramuan yang terdapat dalam oat atau barli dan terbukti bermanfaat untuk jantung serta menurunkan kolesterol serta tahap glukosa darah.

Prototaip kedua adalah mi beras yang diperbuat dengan kanji yang didapati mampu memperlahankan pembebasan gula dalam darah dan menyumbang kepada kesihatan usus yang baik.

Menurut Pusat Penyelidikan Inovasi Makanan, kedua-dua ramuan tersebut dipilih kerana mudah didapati dan terbukti berkesan mengurangkan lonjakan paras gula dalam darah.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk bekerjasama dengan industri, penyelidik, universiti dan politeknik bagi menghasilkan makanan si­hat dengan cita rasa sama se­perti produk makanan biasa,” kata Menteri Kanan Negara bagi Kesihatan, Chee Hong Tat ketika me­rasmikan acara tersebut.

Menurut HPB, lebih daripada 400,000 rakyat Singapura dikesan menderita masalah diabetes, dengan nisbah satu daripada tiga penduduk berkemungkinan mendapat kencing manis sepanjang hayat mereka.

Menurut Hong Tat, produk makanan itu juga berpotensi untuk dieksport ke pasaran serantau pada masa akan datang dan pihak kerajaan bersedia membantu pengeluar dengan pembangunan pasaran pada peringkat awal.

“Sebaik sahaja mi istimewa ini mendapat penerimaan lebih besar di pasaran termasuk di luar negara dan tempatan, saya fikir skala pengeluaran tersebut akan dapat membantu mengurangkan kos dan harganya,” katanya.

Rumusan penghasilan mi ber­kenaan akan dikongsi bersama dengan pengeluar yang berminat untuk menyesuaikannya dengan resipi pembuatan mi mereka dan dua badan terbabit akan bekerjasama membantu urusan menjalankan ujian serta kelulusan kawal selia sebelum makanan itu dijual kepada pengguna.