Portal berita Tendaily me­laporkan, ahli keluarga penum­pang warga China mendakwa kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat sebenar, selain menyatakan semua penumpang pesawat tersebut masih hidup.

Seorang daripada ahli keluar­ga penumpang yang dikenali sebagai Zhang Yongli berkata, laporan tersebut adalah satu konspirasi politik.

Jelasnya, laporan yang dibuat itu menjelaskan mengenai pro­ses pencarian, tetapi tidak menyentuh isu berkaitan penum­pang atau pesawat yang hilang.

“Kami lebih ingin mengetahui di mana ahli keluarga kami yang menaiki pesawat tersebut, bukannya di mana lokasi MH370 berada,” katanya.

Anak perempuan Yongli merupakan seorang daripada 239 penumpang MH370 ketika pesawat tersebut hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Seramai 153 daripada 239 penumpang merupakan warga China termasuk enam rakyat Australia.

Seorang lagi ahli keluarga mangsa, Zhang Meiling yang kehilangan anak perempuan serta menantunya turut mendakwa kejadian yang menimpa MH370 adalah satu penipuan dan tidak pasti mengapa kerajaan Malaysia menyembunyikan perkara sebenar daripada pihak-pihak terlibat.

Menurutnya, dia juga berang dengan kerajaan China yang sehingga kini gagal memberi maklumat yang tepat, selain bertegas semua penumpang dalam pesawat berkenaan masih hidup hingga kini.

Kedua-dua ahli keluarga tersebut yakin para penumpang MH370 kini ditahan di suatu tempat rahsia dan melibatkan banyak pihak selain Malaysia untuk membebaskan mereka.

Selain itu, Yongli memaklumkan kesemua ahli keluarga penumpang akan mengadakan pertemuan dengan MAS dan pihak berkuasa Malaysia pada 3 Ogos ini di Beijing.