Pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai Belanda menyimpulkan pesawat penumpang yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh oleh pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK Rusia.

Bagaimanapun, Moscow menafikan sebarang penglibatan dalam insiden terbabit.

“Kami berhubung dengan Rusia menerusi saluran diplomatik dasar kebertanggungjawaban. Kami semakin yakin akan duduk (berbincang) dengan Rusia tidak lama lagi,” kata jurucakap Kementerian Luar Belanda.

Pesawat MH17 ditembak jatuh dalam wilayah yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014, menyebabkan 298 penumpang serta anak kapal terbunuh.

Kira-kira dua pertiga daripada mangsa dalam insiden tersebut adalah warga Belanda.

Pada Mei tahun lalu, kerajaan Belanda dan Australia menjelaskan, mereka mahu Rusia bertanggungjawab terhadap insiden itu selepas pasukan penyiasat berjaya mengesan sistem peluru berpandu BUK telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17.

Sistem itu didakwa digunakan oleh Briged Anti Pesawat Ke-53 yang berpangkalan di Kursk, barat Rusia.

Bagaimanapun, Presiden Vladimir Putin, menolak dakwaan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia. – REUTERS