Dalam mesyuarat Majlis Ke­selamatan PBB (UNSC) di Ukraine, Menteri Luar Belanda, Stef Blok meminta Moscow untuk menerima penemuan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia yang disediakan oleh pasukan yang berpangkalan di bandar Kursk, Rusia.

“Bahasa ultimatum bukanlah sesuatu yang dibenarkan untuk digunakan oleh sesiapa sahaja apabila bercakap dengan Rusia. Kami tidak dapat menerima kesimpulan tidak ber­asas Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang diketuai Belanda,” kata Duta Besar Rusia, Vassily Nebenzia dalam mesyuarat tersebut.

Semua 298 penumpang pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terbunuh apabila peluru berpandu menyasarkan pesawat ketika terbang di wilayah yang dikuasai oleh pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014.

Membalas kenya­taan Nebenzia, Blok berkata, tiada yang baharu dalam hujah beliau dan menggesa Rusia untuk bekerjasama dengan Belanda dan Australia bagi mengenal pasti dalang kejadian itu.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Nikki Haley menyuarakan sokongan kuat terhadap gesaan Belanda dan Australia ke atas Rusia untuk mengakui peranannya dalam tragedi itu dan membantu membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Walaupun penafiannya yang telus, tiada keraguan bahawa Rusia memacu konflik Ukraine,” kata Haley.

Lebih 10,000 orang terbunuh sejak pemberontakan yang disokong oleh Moscow tercetus pada April 2014 selepas Rusia me­rampas Crimea daripada Ukraine.

Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan penolakan Rusia terhadap penemuan itu.

“Itu tidak mengejutkan saya sama sekali. Kami tidak ragu-ragu bahawa tragedi penerba­ngan MH17 adalah tindakan pengganas,” katanya.

Jelas beliau, Ukraine akan mengemukakan dokumen kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa bulan depan menunjukkan bahawa Rusia melanggar perjanjian antikeganasan. – AFP