Pengerusinya, Tjibbe Joustra berkata, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.

“MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK,” katanya ketika membentangkan laporan akhir tragedi MH17 di Pangkalan Udara Gilze-Rijen, Belanda hari ini.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada ketinggian 9,144 meter dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.

Joustra berkata, siasatan mendapati, MH17 terbang secara normal sehingga pada masa kejadian, apabila pesawat itu melintasi ruang udara timur Ukraine.

Beliau berkata pada pukul 1.25 tengah hari waktu tempatan, peledak 9N314M yang dilancarkan menerusi sistem peluru berpandu BUK dari timur Ukraine, meledak di sebelah kiri dan atas kokpit.

“Bahagian hadapan pesawat itu ditembusi oleh beratus-ratus objek berkuasa tinggi daripada bahan peledak tersebut.

“Berikutan daripada impak dan letupan berikutnya, tiga anak kapal dalam kokpit terbunuh serta-merta dan pesawat itu berkecai di udara,” katanya.

Beliau berkata, bangkai pesawat terbabit bertaburan dalam jarak 50 kilometer persegi.

Laporan itu dikeluarkan 15 bulan selepas siasatan oleh pasukan antarabangsa dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Joustra berkata, laporan akhir oleh DSB itu dibuat berdasarkan siasatan kepada beberapa sumber termasuk sistem senjata yang digunakan, corak kerosakan pada badan pesawat, serpihan yang dijumpai di lokasi kejadian dan badan penumpang, serta bagaimana pesawat itu pecah.

Tambah beliau, penemuan itu juga disokong oleh data dalam perakam penerbangan termasuk Perakam Suara Kokpit (CVR) yang merekod bunyi bising semasa detik akhir kejadian.

“DSB turut menolak punca tragedi disebabkan letupan dalam pesawat atau ditembak oleh peluru berpandu udara ke udara,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada keadaan tidak selamat konflik di Ukraine ketika itu, Kiev sepatutnya menutup ruang udara di kawasan tersebut.

“Kami memutuskan, Ukraine sebenarnya mempunyai alasan yang kuat untuk menutup ruang udaranya,” ujar Joustra.

Mereka yang terbunuh adalah 192 warganegara Belanda; Malaysia (44); Australia (27); Indonesia (12); United Kingdom (10); masing-masing empat dari Belgium dan Jerman; Filipina (3); dan masing-masing satu dari Kanada, dan New Zealand.– BERNAMA