BBC melaporkan, anak-anak Anthony Maslin merupakan antara 298 penumpang yang maut dalam nahas tersebut.

Para penyiasat mendapati Rusia bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu ke arah pesawat MH17, tetapi ia dinafikan oleh Moscow.

Pada awal minggu ini, Trump menolak kesimpulan yang dibuat oleh agensi perisikan AS bahawa Moscow terlibat dalam kempen pilihan raya Presiden pada 2016.

Beliau sejak itu mengubah balik kenyataannya selepas menimbulkan kemarahan ramai.

Kontroversi berkenaan berlaku ketika ulang tahun keempat tragedi MH17.

Maslin dalam status Facebook­nya menggesa Trump supaya tidak menyatakannya sebagai berita palsu sekiranya ada fakta yang tidak boleh dinafikan.

“Pesawat MH17 ditembak jatuh menyebabkan kesemua 298 penumpang maut dan itu adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan atau dilindungi.

“Hasil siasatan juga mempunyai bukti bahawa Rusia melancarkan peluru berpandu ke arah pesawat tersebut dan ia juga bukti yang tidak boleh ditolak,” katanya.

Maslin juga menjelaskan bahawa penipuan yang dibuat oleh Trump berhubung Rusia adalah perkara yang tidak boleh dinafikan.

Semalam, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull menyifatkan Trump sebagai ‘patriot AS’ yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk negaranya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa tidak percaya terhadap penafian Rusia berhubung tragedi MH17.

“Saya tidak percaya apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin memaklumkan bahawa tentera Rusia tiada kaitan dengan tragedi MH17 dan kerajaan Australia akan terus menekan Moscow supaya bertanggungjawab atas perbuatan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa nahas MH17 mengadakan majlis memperingati tragedi tersebut di Belanda semalam.

Majlis tersebut di adakan di tugu peringatan yang dibuka pada tahun lalu berhampiran lapangan terbang Schiphol dekat Amsterdam.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte turut hadir dalam majlis tersebut dengan meletakkan bu­nga sebagai memperingati semua mangsa terkorban, selain menyaksikan semua nama mangsa dibaca dengan kuat kepada semua tetamu yang hadir. – AGENSI