Menurut Menteri Antikuiti Mesir, Khaled el-Anany, manuskrip itu ditemukan pada 2013 dalam gua di Pelabuhan Wadi el-Jarf oleh kumpulan penyelidik Mesir dan Perancis.

Pelabuhan purba itu terletak kira-kira 119 kilometer dari bandar Suez.

Turut dipamerkan ialah pe­rincian kehidupan seharian pembina piramid yang membawa blok-blok batu kapur besar dari Kaherah semasa pemerintahan Raja Khufu untuk membina piramid berkenaan yang merupakan tempat persemadiannya.

Sementara itu, pengarah muzium tersebut, Tarek Tawfiq berkata, dokumen purba berkenaan menunjukkan rutin kehidupan seharian pekerja yang turut memindahkan bahan-bahan binaan dari pelabuhan Laut Merah ke Giza.

Sebuah dokumen turut memaparkan kerja-kerja pemindahan blok batu kapur dari kuari di Turah di tebing timur Sungai Nil ke piramid Giza melalui sungai itu dan terusan-terusannya.

Menurut Syed Mahfouz yang bersama Merer mengetuai penyelidikan tersebut, manuskrip itu melambangkan sistem pentadbiran yang paling cekap semasa pemerintahan Raja Khufu.

Sebanyak enam daripada 30 manuskrip yang dipamerkan menunjukkan kuasa pentadbiran dan keadaan semasa pemerintahan raja berkenaan.

Satu daripada manuskrip itu milik seorang pekerja kanan bernama Marr yang memainkan pe­ranan penting dalam pembinaan piramid dan memperincikan tugasnya selama tiga bulan terma­suk membawa batu-batu melalui Sungai Nil dan terusannya.

Pegawai kedua kementerian tersebut, Sabah Abdel Razak yang memberitahu agensi berita MENA berkata, manuskrip itu menunjukkan pengagihan makanan kepada pekerja termasuk sebuah hiroglif yang jelas menunjukkan bilangan kambing biri-biri yang dibawa masuk.

Penemuan itu juga menurut Khaled memberi petunjuk bahawa Mesir menyimpan banyak harta karun yang masih belum diterokai.