Kerajaan China mendakwa kem-kem tersebut bukannya tempat tahanan, sebaliknya pusat latihan vokasional yang bertujuan meningkatkan kemahiran serta kefahaman etnik tersebut dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian.

Namun, banyak pihak yang masih meragui keikhlasan China dan menganggapnya sebagai satu daripada cara untuk mengawal pergerakan, hak serta amalan keagamaan etnik berkenaan.

Ikuti pendedahan oleh wartawan agensi berita Indonesia , Antara dan empat agensi berita antarabangsa yang baru-baru ini diberi peluang melawat sebuah kem tahanan Uighur di bandar Kashgar, Xinjiang.

1. Uniform

Kesemua penghuni di kem tersebut perlu mengenakan uniform berwarna hitam dengan belang merah pada bahagian tangan.

2. Belajar bahasa 
Mandarin

Tidak boleh bertutur bahasa ibunda

Semua pelatih diwajibkan belajar serta menulis dalam bahasa Cina. Mereka tidak boleh tamatkan pengajian jika gagal dalam dua subjek tersebut.

3. Ekspresi dan aktviti

Riak wajah kebanyakan pelatih seperti tiada apa yang berlaku dan mereka menjalani rutin harian di kem tersebut untuk memperbaiki kehidupan masing-masing menerusi kemudahan yang disediakan.

Tiada sebarang kegiatan atau kesan berlakunya keganasan dalam kem tersebut. Kebanyakan pelatih bebas melakukan aktiviti mereka termasuk bermain bola, menyanyi serta menari.

4. Ciri-ciri bangunan

Tidak kelihatan se­perti tempat untuk menjalani latihan kerja atau praktikal, sebaliknya dilihat sama seperti kem kerana dilengkapi dengan pagar, kawat duri dan kamera litar tertutup.

Kedudukan kem tersebut juga jauh daripada kawasan perumahan, selain dibina atas tanah seluas 16 hektar pada pertengahan 2017 dan mampu memuatkan kira-kira 3,000 penghuni.

5. Makanan

Semua menu makanan yang dihidangkan adalah halal dan terdiri daripada ayam, daging kambing serta ikan setiap hari termasuk nasi serta sa­yuran.

6. Asrama

Dilengkapi dengan bilik asrama berasingan bagi pelatih lelaki dan wanita serta terdapat sistem pengudaraan yang boleh ditetapkan untuk suhu sejuk mahupun panas.

Semua pelatih dibenarkan pulang ke rumah setiap hari Sabtu.

7. Percuma

Semua pelatih di kem tersebut tidak perlu membayar apa-apa untuk menikmati segala kemudahan dan latihan yang diberi.

8. Tiada kemudahan beribadat

Kem tersebut tidak dilengkapi dengan kemudahan beribadat seperti bilik solat dan keadaan ini secara tidak langsung menguatkan dakwaan bahawa kerajaan China cuba mengawal amalan keagamaan etnik Uighur.

9. Rancangan China

Bangunkan lebih banyak pusat vokasional di seluruh Xinjiang. Setakat ini, terdapat kira-kira 19 kem di selatan wilayah tersebut.

Kem paling kecil mampu memuatkan kira-kira 300 hingga 700 pelatih manakala kem berkapasiti besar boleh menampung ribuan pelatih.

• Reaksi pelatih

Seorang pelatih yang dikenali sebagai Adilla memberitahu bahawa kem tersebut memberinya peluang mengetengahkan bakat dalam bidang masakan dan kulinari.

“Sebelum saya masuk ke sini, kemam­puan saya tidak dapat dinilai dan seolah-olah akan lenyap begitu sahaja. Kem ini membantu saya mengenali diri serta kelebihan yang ada,” katanya.

Seorang lagi pelatih, Mirkamiljan memaklumkan dia menjalani latihan vokasional dalam bidang elektronik, namun dia tidak dapat menamatkan pengajian kerana gagal dalam bahasa Cina dan perlu lulus untuk meninggalkan kem berkenaan.

• Reaksi Gabenor Xinjiang

Shohrat Zakir percaya bahawa usaha yang dilakukan oleh kerajaan China dengan membangunkan kem-kem tersebut boleh menangkis kegiatan keganasan di wilayah berkenaan, selain meningkatkan sumber pendapatan penduduk.

Setakat ini, etnik Uighur hanya menjana pendapatan kira-kira RMB300 (RM181) hingga RMB600 (RM362) sebulan, menjadikan Xinjiang jauh ketinggalan berban­ding wilayah lain di China.

Beliau juga mengalu-alukan kedatangan pelbagai komuniti di seluruh dunia ke kem-kem vokasional yang dibangunkan oleh China bagi melihat sendiri situasi sebenar mereka.