Gabriel menolak keras tindakan untuk memulaukan Qatar dan memberi amaran langkah tersebut adalah serangan besar ke atas kewujudan negara-negara Teluk itu sendiri.

“Kontrak ketenteraan gergasi Presiden AS dengan monarki Teluk meningkatkan risiko terbaru da­lam penjualan senjata. Hubungan ala Trump dalam kawasan yang terdedah kepada krisis amat berbahaya.

“Dasar ini adalah salah dan ia pastinya bukan dasar Jerman. Saya sangat bimbang de­ngan akibatnya di seluruh rantau itu,” kata Gabriel memberi ama­ran dalam satu wawancara dengan akhbar Handelsblatt hari ini.

Isnin lalu, Arab Saudi dan sekutunya termasuk Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubu­ngan diplomatik dan menutup ruang udara, laut dan rangkaian darat dengan Qatar.

Mereka menuduh negara Teluk itu melindungi kumpulan pelampau dan mendakwa Qatar menyokong agenda Iran, musuh tradisi Arab Saudi di rantau ini.

Krisis tersebut wujud hanya bebe­rapa bulan selepas Trump melawat Arab Saudi dan menggesa negara-negara Islam untuk bersatu menentang ekstremisme termasuk menandatangani kontrak senjata ber­nilai AS$110 bilion (RM473 bilion) dengan Riyadh.

Di Washington, ju­rucakap White House berkata, Trump telah mengadakan perbincangan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud melalui telefon hari ini mengenai krisis diplomatik antara Qatar dan negara-negara Arab lain.

Dalam satu panggilan telefon, Trump menekankan keperluan untuk perpaduan di rantau tersebut, namun beliau sebelum itu dilihat muncul dalam beberapa siri tweet yang jelas menyatakan sokongan terhadap pengasingan Qatar.

Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al Jubeir berkata, Doha mesti mengubah dasarnya dan berhenti menyokong kumpulan pelampau termasuk pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri Iraq, Haider Abadi pula berkata, negaranya tiada kaitan dengan pertikaian tersebut dan menegaskan kerajaan Iraq akan terus mengawal kawasan sempadan dengan kerjasama Presiden Syria, Bashar al-Assad.–REUTERS/AFP