Untuk itu tidak menghairankan apabila pilihan raya Belanda dijadikan indikator atau kayu pengukur menjelang dua lagi pilihan raya yang penting iaitu di Perancis dan Jerman yang dilihat turut menyaksikan sokongan kuat terhadap golongan berhaluan kiri.

Perancis akan mengadakan pilihan raya pada bulan depan untuk memilih Presiden baharu dengan menyaksikan National Front yang merupakan parti berhaluan kanan menjangka sokongan kepadanya dapat ditingkatkan manakala parti populis, Alternative for Germany (AfG) mungkin memenangi kerusi di Parlimen buat pertama kali dalam pilihan raya pada September ini.

Sebelum ini, kemenangan Parti Liberal (VVD) pimpinan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte yang pada awal dibimbangi boleh tewas antaranya akibat pertelingkahan dengan Turki sehingga menyemarakkan sikap antipendatang rakyat Belanda, mengatasi pesaing anti-Islam daripada Parti Kebebasan (PVV), Geert Wilders, menyebabkan banyak pemimpin EU menarik nafas lega.

Dengan memperoleh 54 peratus undian, Rutte memenangi 32 kerusi daripada 150 kerusi Parlimen manakala Wilders berada di tempat kedua bersama dua lagi parti, masing-masing mendapat 19 kerusi.

Wilders yang sering mengeluarkan kenyataan sentimen anti-Islam di Belanda tidak berpeluang membentuk kerajaan kerana semua parti utama menolak bekerjasama dengan beliau berikutan tidak mahu mencetuskan konflik perang agama di Eropah.

Ternyata Eropah terselamat buat seketika daripada gelombang nasionalisme yang dilihat seperti tidak dapat ditolak lagi. Parti arus perdana sememangnya sebelum ini amat bimbang kerana kekalahan Rutte di Belanda mampu memberikan kesan domino dalam dua lagi pilihan raya, sekali gus memberi ancaman kepada kewujudan EU.

“Kita harus terus berjuang untuk pembentukan Eropah yang bebas dan terbuka,” kata bekas Presiden Parlimen Eropah, Martin Schulz.

Kebimbangan pemimpin-pemimpin utama Eropah jelas apabila Presiden Perancis, Francois Hollande mengalu-alukan kemenangan Rutte yang dilihat sebagai kejayaan yang jelas terhadap ekstremisme manakala Canselor Jerman, Angela Merkel pula menyambutnya sebagai keputusan yang baik bagi demokrasi.

Seperti Belanda, parti-parti utama di Jerman dan Perancis diharapkan untuk memperlihatkan senario politik yang hampir serupa iaitu menyekat kebangkitan parti yang berasaskan populisme dan antipendatang.

Di Jerman, parti pembangkang menyalahkan Merkel kerana membenarkan lebih 890,000 orang pencari suaka masuk ke negara itu dengan banyak kes jenayah melibatkan pendatang berlaku.

Ahli Parlimen Jerman berhaluan kiri, Ulla Jelpke mendesak agar Merkel segera mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani isu berkenaan dan sekiranya tidak diselesaikan, mereka sendiri akan melakukannya.

Tambahan pula, isu pendatang semakin menjadi perhatian di Jerman apabila lebih 3,000 kes melibatkan pencari suaka dilaporkan di negara itu pada tahun lalu.

Malah, di dalam kempen pilihan raya terbaharu, parti-parti pembangkang jelas meletakkan isu pendatang sebagai manifesto utama mereka sekiranya memenangi pemilihan itu kelak.

Keadaan serupa berlaku di Perancis apabila parti berhaluan kiri, Barisan Kebangsaan (NF) menggesa diadakan pungutan suara berhubung keanggotaan negara itu dalam EU selepas keputusan Brexit disambut baik.

Parti NF yang juga bersikap antipendatang dan satu-satunya parti yang menyokong usaha Britain sebelum ini menyuruh negara-negara di dalam EU supaya keluar daripada badan utama itu jika mahukan kebebasan.

Jika parti-parti pembangkang di negara anggota EU berjaya memerintah sesebuah negara, maka tidak mustahil mereka akan mengamalkan dasar tertutup kepada pendatang dan penduduk Islam yang sedia ada di negara berkenaan akan berada dalam keadaan terancam meskipun mereka turun menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara-negara dalam EU. Keadaan itu juga menghapuskan kewujudan sebuah masyarakat Eropah yang majmuk dan juga adil.