Anies berjaya mendahului Ba­suki Tjahaja Purnama atau Ahok dengan 58 peratus undi manakala Ahok hanya menerima 42 peratus.

Pilihan raya Gabenor Jakarta di­anggap penting kerana dilihat sebagai petunjuk kepada pilihan raya Presiden pada 2019.

Daripada 101 pemilihan yang diadakan di seluruh wilayah, daerah dan bandar, perebutan Gabenor Jakarta adalah yang paling menjadi tumpuan di negara itu.

Penganalisis politik dari Universiti Paramadina, Hendri Satrio menyifatkan peristiwa yang berlaku dalam pilihan raya Presiden 2014 membuatkan rakyat percaya pilihan raya Gabenor Jakarta kali ini memainkan peranan penting dalam penentuan hala tuju politik untuk pilihan raya Presiden 2019.

Pada 2014, Joko Widodo atau Jokowi memutuskan untuk ber­tanding dalam pilihan raya Presiden, meninggalkan kerusi Gabenor Jakarta kepada timba­lan­nya, Ahok.

“Ramai percaya calon yang memenangi pilihan raya Gabenor Jakarta mempunyai permulaan kuat untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden. Ini pengajaran yang kita peroleh daripada Jokowi,” katanya kepada portal Jakarta Post baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun semua tiga calon yang bertanding dalam pilihan raya Gabenor Jakarta tahun ini mendakwa tidak tertarik untuk bertanding sebagai calon Presiden, tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam dunia politik.

“Ambil contoh Jokowi. Beliau pernah berkata tidak akan bertanding dalam pilihan raya Presiden pada 2014 tetapi bertindak sebaliknya,” jelas beliau.

Menyorot sisi kehidupan Anies, beliau dilahirkan pada 7 Mei 1969 di Kuningan, wilayah Jawa Barat dan merupakan anak pertama kepada pasangan Dr. Rasyid Baswedan serta Prof. Dr. Aliyah Rasyid. Tambah menarik, Anies merupakan cucu kepada pejuang kemerdekaan Indonesia terkenal dan bekas Menteri Penerangan iaitu Abdurrachman Baswedan.

Anies sejak kecil sudah mula berjinak-jinak dengan dunia pe­ngurusan dan kepemimpinan. Ke­­­tika berusia 12 tahun, beliau membentuk kumpulan anak muda berusia tujuh hingga 15 tahun di kampungnya yang diberi nama sebagai Kelab Anak Berkembang (Kelabang) dan mereka sering me­ngadakan pelbagai aktiviti kesenian serta sukan.

Pada 2014, setelah Jokowi secara rasmi menjadi Presiden Indonesia, beliau melantik Anies sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan. Ketika mengetuai kementerian tersebut, Anies merombak keseluruhan organisasi seperti menggabungkan Kementerian Penyelidikan, Teknologi dan Pengajian Tinggi dengan Direktorat Je­neral Pendidikan Tinggi.

Selain itu, beliau juga melaksanakan Kad Pintar Indonesia (KIP) bagi memastikan murid dan pelajar berusia antara enam hingga 21 tahun mendapat manfaat Program Pintar Indonesia sekiranya berdaftar dengan sekolah, madrasah atau pondok pengajian.

Malah beliau memperkenalkan pendidikan kurikulum terbaharu serta menghantar guru-guru berkualiti di semua wilayah selain melakukan perubahan terhadap sistem ujian kebangsaan.

Meskipun Anies begitu cemerlang menggalas jawatannya dalam tempoh dua tahun, beliau akhir­nya dipecat oleh Jokowi sewaktu rombakan Kabinet besar-besaran tahun lalu. Pemecatannya itu me­nimbulkan tanda tanya dalam ka­langan rakyat kerana perubahan positif yang dibawa oleh Anies.

Menurut para pemerhati, an­ta­ra punca pemecatannya ialah Anies tidak memberikan perhatian kepada pelaksanaan KIP bagi membantu pelajar miskin. Anies lebih berminat untuk menjalankan misi dan visi beliau berban­ding melaksanakan apa yang dimahukan oleh Jokowi.

Tambah mereka, pengagihan KIP di beberapa kawasan di Indonesia mengalami kelewatan menyebabkan ramai pelajar terjejas dan perkara itu menjadi salah satu penyebab Jokowi lebih berminat untuk menggantikan Anies dengan calon lain iaitu Muhadjir Effendy.

Anies sendiri menjelaskan pun­ca penangguhan penyerahan KIP tersebut dan menurut beliau, pihaknya perlu menunggu data pelajar yang layak untuk mene­rima KIP daripada Pusat Biro Statistik (BPS) sebelum pengagihan dilakukan.

Dalam pada itu, calon wakil Gabenor Jakarta, Djarot Saiful Hidayat ketika menyampaikan debat terakhir ketika pilihan raya pada Februari menjelaskan punca sebenar Anies dilucutkan jawatannya. Djarot berkata, Jokowi terpaksa memecat Anies kerana beliau terlalu lambat dalam melaksanakan setiap program di­tetapkan oleh kerajaan.

“Beliau pernah menjadi anggota Kabinet, dilucutkan jawatan kerana tidak cekap menjalankan program di­tetapkan oleh kerajaan,” kata Djarot ketika debat tersebut. Kenyataan dibuat oleh Djarot itu tidak boleh dipandang remeh ke­rana beliau merupakan ahli politik Parti Demokrasi Perjuangan Indonesia (PDIP), berada di bawah satu bumbung dengan Jokowi.

Pemecatan Anies sebelum ini mencetuskan persoalan dalam ka­langan pengkritik sama ada beliau mampu menggalas tugas sebagai Gabenor Jakarta bagi penggal akan datang atau sebaliknya.

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Kaji Selidik Indonesia (LSI), Kuskridho Ambardi, keupayaan gandingan Anies-Sandi dalam menggerakkan birokrasi mungkin menerima tentangan.

“Sebelum ini, Ahok sering dilihat berani membuat keputusan dan kita akan lihat sama ada gaya Anies yang lebih lembut akan berkesan. Cara seperti itu mungkin berhasil kerana matlamatnya tercapai tetapi kurang efisien,” katanya.

Ketika era pemerintahan Ahok, Kuskridho melihat ketelitian dari segi tugas yang diberikan dan perlu dipenuhi oleh pekerja bawahannya. Jelasnya, ramai pihak mahu melihat apakah bentuk perubahan bakal dibawa oleh Anies dalam tempoh enam bulan selepas menjadi Gabenor Jakarta bermula Oktober depan.