Trump lebih dikenali di pentas antarabangsa sebagai bilionair dan ahli korporat ternama tetapi bukan seorang ahli politik dan diketahui umum tidak mempunyai pengalaman urusan mentadbir negara.

Bukan sedikit timbulnya persoalan dan kegusaran sama ada Trump akan menunaikan antara janjinya termasuk paling kontroversi iaitu mengharamkan kemasukan pendatang beragama Islam ke Amerika Syarikat (AS) yang dibuat ketika kempennya selepas insiden tembakan di California.

Janji itu seakan pasti ditunaikannya apabila Trump mendabik dada me­ngatakan beliau bertindak betul dalam menangani isu keganasan ketika mengulas insiden tindakan nekad seorang anggota polis menem­bak mati Duta Rusia ke Turki, Andrei Karlov di Ankara pada Disember lalu.

Namun begitu terdapat pemerhati yang menyifatkan kenyataan Trump hanya sekadar me­raih undi rakyat AS dan mungkin tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Pada masa yang sama, dunia juga pastinya tertunggu-tunggu kesudahan kisah pembinaan tembok sempadan di Mexico selepas Presiden Enrique Pena Nieto menolak tuntutan Trump supaya membayar kos pembinaan.

Pendekatan Trump seperti ‘mengundur ke belakang’ apabila sekadar mementingkan AS sedang­kan dunia diibaratkan sebuah perkampungan besar dan setiap negara saling memerlukan antara satu sama lain.

Trump mene­gaskan akan menyegerakan pembinaan tembok itu dan memaksa Mexico membayar kos menerusi cukai atau bentuk lain yang dianggar berjumlah AS$25 bi­lion (RM112 bilion).

Apakah sudah tiada lagi alternatif lain yang membawa kepada kerjasama ‘menang-menang’? Perlukah pendekatan bersifat konflik diambil sebagai penyelesaian?

Tidak dinafikan Trump perlu mengutamakan kepentingan AS, tetapi tindakan yang diambil dilihat lebih bersifat pembuli sedangkan beliau berpengalaman dalam dunia perniagaan dan lebih arif apa yang harus dilakukan.

Ketika dunia sudah lama mempelopori perdagangan bebas, beliau tidak seharusnya ‘mengugut’ syarikat-syarikat AS yang berope­rasi di negara asing untuk mewujudkan peluang pekerjaan di AS dan mengancam mahu mengenakan duti import kepada produk luar supaya barangan AS dapat bersaing pasti memberi kesan besar kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.

Setakat ini, banyak kenyataan Trump lebih meresahkan dunia, bukannya memberi harapan ‘cahaya di hujung terowong’ kepada kemelut ekonomi yang melanda.

Pastinya pertumbuhan ekonomi dunia bakal suram apabila iklim pelaburan terganggu termasuk sikap tidak puas hati Trump terhadap China dan langkah AS menarik diri dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasi­fik (TPPA).

Apatah lagi, perjanjian TPPA yang diterajui AS dianggotai 11 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia dengan saiz pasaran bernilai AS$30 trilion (RM132.8 trilion).

Sekiranya apa yang dibimbangi ini berlaku, apakah mungkin perdagangan dunia akan mengambil satu langkah yang mengundur ke belakang atau kembali kepada asalnya sebelum bermula semula sekali lagi? Ketika kempen anti-Islam memuncak di negara kuasa besar dunia itu, bagaimana nasib dan layanan bakal diterima oleh negara-negara Islam yang berdagang dengan AS?

Pastinya dasar AS akan berubah-ubah mengikut kehendak dan kemahuan Trump.

Menyedari hakikat ini, peluang umat Islam untuk melihat nasib rakyat Palestin terbela setelah 69 tahun dijajah rejim Zionis juga seakan samar.

Sikap ‘mesra Israel’ oleh Trump tentunya menyaksikan dasar AS lebih menyokong dan menyebelahi Israel selepas beliau dengan jelas menyatakan akan memindahkan kedutaan besar AS yang kini di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.