Namun apa yang pasti, insiden itu bukanlah yang terakhir dilakukan kumpulan pemisah yang pasti akan melakukan serangan demi serangan sehinggalah wilayah selatan Thailand dianugerahkan pemerintahan sendiri, seperti yang dituntut kumpulan-kumpulan pejuang pemisah.

Konflik yang berlarutan sejak 2001 mula memburuk pada 2004 selepas tercetusnya insiden di Masjid Krue Se pada April 2004 yang me­ngakibatkan 32 orang anggota pemisah maut ditembak oleh tentera di dalam masjid berkenaan.

Namun, tragedi Tak Bai pada Oktober 2004 yang mengorbankan seba­nyak 85 lelaki yang mati lemas akibat berasak-asak di dalam trak tentera, masih dekat di hati penduduk dipercayai antara faktor keganasan terus berlaku.

Setakat ini, konflik di selatan Thailand sudah meragut kira-kira 6,500 orang nyawa tanpa mengira agama dan kedudukan penduduk di wilayah Pattani, Yala, dan Narathiwat.

Antara punca yang mencetuskan konflik adalah tahap pendidikan dan pendapatan yang rendah masyarakat kebanyakannya Melayu di selatan Thai berbanding rakyat di wilayah Thailand yang lain.

Konflik diburukkan lagi de­ngan isu pembangunan apabila tiga wilayah tersebut sering disisihkan sehingga seperti tidak ada langsung projek dilaksanakan berbanding wilayah lain khususnya Bangkok yang dihuni penduduk Buddha.

Malah, pihak berkuasa Thailand didakwa memberi layanan buruk terhadap penduduk di selatan Thai yang majoritinya beragama Islam dengan insiden paling diingati adalah ‘pembunuhan’ Tak Bai yang berlaku pada bulan Ramadan 2004.

Peristiwa tersebut yang menyaksikan maruah Islam seperti dipijak-pijak pasti akan diingati sehingga bergenerasi lamanya, sekali gus menyukarkan usaha damai dicapai

Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Shinawatra pula se­olah-olah menutup mata terhadap isu selatan Thai, malah paling serius tiada pihak dipertanggungjawabkan berhubung tragedi Tak Bai.

Sementara itu, penganalisis ke­selamatan Asia Tenggara, Zacha­ry Abuza mendakwa, konflik itu adalah mengenai identiti budaya komuniti etnik Melayu di wilayah selatan yang menolak asimilasi ke dalam masyarakat Thailand.

“Setiap kaum minoriti di Thailand telah menerima asimilasi bagi proses kerakyatan kecuali etnik Melayu yang terus berjuang terhadap apa yang dianggap mereka sebagai kegagalan eksperimen penjajahan Thailand selain mahu mempertahankan budaya, agama, dan cara hidup mereka,’’ katanya.

Meskipun pihak tentera mengetatkan kawalan keselamatan dengan menempatkan kira-kira 70,000 anggota keselamatan di sempadan ketiga-tiga wilayah itu, namun insiden letupan bom boleh dikatakan berlaku hampir saban minggu tanpa mengira waktu dan tempat.

Ironinya, bukan sahaja nyawa tentera dan kumpulan pemisah yang mela­yang, namun guru, sami, dan kakitangan kerajaan yang dianggap sebagai simbol kerajaan juga akan menjadi mangsa serangan sama ada menerusi teknik letupan bom atau tembak menggunakan motosikal.

Malah, sepanjang konflik bersenjata itu berlangsung, tidak ada pihak tampil mengaku bertanggungjawab dalam setiap keganasan yang dilakukan sehingga membingungkan pasukan keselamatan.

Perkembangan pantas era digital dalam menyebarkan maklumat seperti penggunaan Facebook dan pendedahan teknik membuat senjata di laman perkongsian video juga bakal membawa fasa baharu sekali gus dijangka memburukkan lagi konflik itu.

Sedangkan boleh dikatakan, kejayaan pasukan keselamatan dalam membanteras aktiviti pemisah adalah terlalu sedikit dengan yang terbaharu, kerajaan memusnahkan sebuah kilang membuat bom milik kumpulan militan di Nong Chik pada 10 Februari lalu.

Oleh itu, satu penyelesai­an politik secara berkekalan perlu dicari oleh kerajaan Thailand yang baharu dengan membawa kumpulan pemisah ke meja rundi­ngan.

Namun rundingan itu seharus­nya tidak hanya melibatkan Barisan Revolusi Kebangsaan (BRN) seperti yang dilakukan sebelum ini, sebaliknya membabitkan kumpulan pemisah lain seperti Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GIMP).

Hal ini kerana, semasa rundingan perdamaian bersama BRN sebelum ini, insiden pengeboman oleh kumpulan pemisah tetap berlaku dan ini menunjukkan, BRN tidak mewakili suara majoriti kumpulan pemisah.

Selain itu, pembabitan rakan-rakan daripada negara anggota ASEAN secara aktif sebagai pengantara juga dilihat sebagai alternatif yang boleh diambil bagi meredakan kon­flik berdarah di wilayah tersebut.

Kerajaan Thailand pada masa sama wajar mencontohi kerajaan Filipina dan Indonesia yang berjaya memuktamadkan perdamaian dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di wilayah Mindanao serta kumpulan pemisah Gerakan Acheh Merdeka (GAM) melalui cara rundingan dan bukannya menerusi kekerasan.