Menurut Mail Online memetik South China Morning Post, menara itu dikatakan mampu me­ningkatkan kualiti udara dalam kawasan seluas 10 kilometer persegi.

Laporan daripada Institut Alam Sekitar Bumi di Akademi Sains China mendakwa sistem pembersih udara itu boleh me­ngurangkan 15 peratus partikel halus dalam asap yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Satu lagi laporan daripada Xi’an Evening Post menyebut menara itu telah siap sepenuh­nya pada Mei 2016 dan kini menjalani ujian untuk melihat sama ada ia betul-betul meningkatkan kualiti udara di kawasan sekitarnya.

Menara tersebut dan bahagian mesinnya meme­nuhi kawasan seluas 2,580 meter persegi di Xi’an, ibu kota wilayah Shaanxi di barat laut negara itu.

Selain itu, menara ber­kenaan juga merupakan sistem pembersihan udara berskala besar yang dibantu dengan tenaga solar.

Di tapak menara terbabit, terdapat beberapa rumah hijau yang berfungsi untuk menarik udara tercemar ke dalam menara itu dan membersihkannya sebelum melepaskannya kembali ke alam sekitar.

Menara tersebut mampu me­ngasingkan partikel halus termasuk nitrogen oksida, nitrogen dioksida serta sulfur dioksida.

Menurut ketua penyelidik program tersebut, Cao Junji, menara berkenaan mampu membersihkan le­bih 10 juta meter padu udara setiap hari.