The Guardian melaporkan, pelan jangka panjang itu diumumkan ketika Perancis sedang membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024 selain penganjuran Universal Exposition pada tahun berikutnya.

Bagaimanapun, pengubahsuaian tersebut dijangka menelan kos sehingga 300 juta euro (RM1.42 bilion) iaitu pertambahan sehingga 45 peratus atau 13.7 juta euro (RM65 juta) berbanding peruntukan yang dibelanjakan setiap tahun untuk menyelenggara menara terbabit.

Mengikut sejarah, Menara Eiffel atau La Tour Eiffel pada asalnya dibina sebagai struktur besi ‘sementara’ pada tahun 1889.

Cubaan untuk merobohkan binaan itu 20 tahun kemudian bagaimanapun gagal dan menara tersebut terus ‘bertahan’ hingga hari ini dan mampu menarik kedatangan sehingga tujuh juta pelancong setahun.

Dalam pada itu, Timbalan Datuk Bandar Paris yang bertanggungjawab terhadap sektor pelancong­an, Jean-Francois Martins berkata, separuh daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk membaik pulih lif dan lampu yang menerangi menara itu pada waktu malam.

Jelas beliau, peruntukan selebihnya pula akan dikhususkan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan termasuk membina tempat berteduh ketika pengunjung beratur sebelum menaiki menara tersebut.

“Pada masa yang sama, ciri-ciri keselamatan akan ditingkatkan bagi memastikan menara itu tidak menjadi sasaran serangan pengganas,” katanya.

Tambah Martins, kerja-kerja pengubahsuaian menara itu dijangka selesai sepenuhnya sebelum tahun 2024.

Difahamkan, cadangan mengubah suai Menara Eiffel akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Perbandaran Paris hujung bulan ini.