Vanessa Trump, 40, berkahwin dengan anak sulung Presiden AS, Do­nald Trump itu pada November 2005 dan dikurniakan lima orang anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

Menurut beberapa laporan media, bekas model itu memfailkan perceraian tanpa dicabar, yang bermaksud prosiding penceraian tersebut tidak akan melibatkan perbalahan ber­hubung hak penjagaan anak dan aset.

Usaha mendapatkan mak­­lum balas daripada Vanessa dan Trump Organisation berhubung perkara itu bagaimanapun gagal.

Beberapa minggu lalu, tabloid New York Post melaporkan pasangan itu ber­depan masalah, dengan merujuk kekerapan Trump Jr. melakukan lawatan dan gemar melayari Twitter se­per­ti bapanya.

Pertengahan Februari lalu, Vanessa yang jarang mencuri perhatian media, menjadi tajuk utama beri­ta selepas membuka surat dihantar kepada suaminya yang mengandungi serbuk putih misteri.

Serbuk itu didapati ti­dak berbahaya tetapi beliau dimasukkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga bersama ibunya, yang berada di lokasi sama ketika Vanessa membuka surat berkenaan.

Pada 1 Mac, seorang lelaki Massachusetts berusia 24 tahun ditahan dan didakwa atas tuduhan menghantar satu mesej mengugut bersama serbuk putih. –AFP