Katanya, tindakan itu menyebabkan para peserta perhimpunan terpengaruh dan bertindak melakukan kekecohan dan menentang pasukan keselamatan.

“Kita kesal kejadian ba’da Isya yang seharusnya sudah bersurai tetapi menjadi rusuhan (kekacauan) dan ini kita lihat telah ditunggangi aktor-aktor politik yang memanfaatkan si­tuasi,” katanya seperti yang dipetik oleh media-media online hari ini.

Jokowi berkata, beliau telah mengarahkan Naib Presiden Jusuf Kalla untuk menerima memorandum bantahan itu daripada wakil perhimpunan kerana terpaksa menghadiri majlis di luar istana.

“Saya telah menyatakan bahawa kes Ahok itu akan disiasat secara tegas, tepat dan telus. Biarkan pihak keselamatan be­kerja menyelesaikan proses menegak hukuman seadil-adilnya,” kata beliau yang terpaksa menangguhkan kunjungan ke Australia bermula esok.

Dalam kejadian semalam, seorang peserta meninggal dunia dipercayai menghidap asma manakala 12 lagi cedera setelah bertempur dengan pihak berkuasa manakala 23 lagi ditahan, majoritinya di di bahagian utara.

Demonstrasi itu diadakan sebagai membantah tindakan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang didakwa menghina al-Quran semasa bertemu pengundi di Pulau Seribu bulan lalu.

Kenyataan Ahok itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam dan tokoh-tokoh agama di seluruh Indonesia yang kemudian bertindak menganjurkan perhimpunan besar-besaran bermula selepas solat Jumaat semalam.

Bagaimanapun, perhimpunan yang dijadual berakhir 6 petang di istana semalam, telah berlanjutan sehingga pukul 5 pagi tadi apabila ribuan peserta demonstrasi itu berarak pula ke Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen Republik Indonesia di Jakarta Selatan.

Setelah gagal memasuki kawasan Parlimen, mereka tidur di atas jalan raya di hadapan dewan sehingga solat subuh sebelum bersurai.

Sebelum itu, kekecohan mula berlaku apabila peserta perhimpunan itu enggan bersurai atas alasan mahu wakil perhimpunan itu menemui Presiden Joko Widodo dan bukannya wakil presiden.

Mereka kemudiannya bertemu Jusuf Kalla kerana enggan menyerahkan memorandum itu kepada beberapa menteri Kabinet yang berada di istana.

Polis terpaksa bertindak menggunakan pancutan meriam air untuk menyuraikan mereka dan suasana menjadi kecoh apabila peserta perhimpunan itu mula menentang pasukan keselamatan dengan melontar pelbagai objek dan membakar kenderaan pasukan keselamatan. – Bernama/Reuters