WASHINGTON 20 Sept. – Wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Melanie Trump sedang mempertimbangkan untuk menyaman sebuah institut pendidikan aliran Inggeris di Zagreb, Croatia yang menggunakan gambarnya pada sebuah papan iklan bagi mempromosi sekolah berkenaan.
Menurut peguam yang mewakili Melanie, anak guamnya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambarnya bagi tujuan pengiklanan.
Melanie telah mengarahkan institut tersebut, Institut Americki menarik balik iklan itu dalam tempoh 24 jam.
Iklan tersebut yang dipaparkan pada papan iklan di tepi jalan raya memaparkan gambar Melanie dengan perkataan ‘Bayangkan sejauh mana anda dapat pergi dengan hanya sedikit penguasaan bahasa Inggeris’.
Sementara itu, institut terbabit menerusi Facebook miliknya telah memuat naik lagu bertajuk I’m Sorry dendangan penyanyi tahun 60-an, Brenda Lee.
Pengasas institut itu, Brett Campbell memberitahu akhbar Croatia Vecernji List bahawa mereka berniat untuk mengingatkan orang ramai tentang pentingnya ilmu pengetahuan jika mahu mendapat kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Kita menyaksikan perpindahan beramai-ramai penduduk Croatia ke luar negara untuk mencari penghidupan di negara-negara Anglo-Saxon seperti Ireland, Kanada dan Australia.
“Jika mereka fasih berbahasa Inggeris maka mereka boleh pergi jauh dan kami boleh membantu anda,” katanya.
Ini bukan kes pertama melibatkan Melanie malah beliau pernah mengarahkan peguamnya untuk melindungi imejnya, lapor portal BBC.
Di Slovenia, pengeluar madu tidak dibenarkan untuk meletak nama ‘Melanie’ pada produk pengeluaran masing-masing.
Namun insiden itu tidak menghalang tempat kelahiran Melanie, Sevnica untuk mengeluarkan pelbagai barang berjenama ‘First Lady’.
Selain bahasa Inggeris dan bahasa ibundanya, Slovenia, Melanie juga fasih berbahasa Perancis, Itali dan Jerman.