Terbaharu, Melania iaitu isteri Trump dan Ivanka dilaporkan ‘tidak sebulu’ dan berdepan de­ngan ‘perang dingin’.

Ini ekoran dakwaan bahawa Ivanka, anak perempuan Trump hasil perkahwinan sebelum ini, yang dikatakan kerap mengisi pe­ranan sebagai ‘Wanita Pertama’ ketika ketiadaan Melania di White House.

Sumber memberitahu Mail Online, warga White House menye­dari tentang ‘konflik’ antara ke­dua-dua wanita berkenaan.

Walaupun jurucakap White House menafikan dakwaan itu dengan menegaskan kedua-dua­nya sentiasa akrab, namun hubu­ngan dingin itu dipercayai berpunca daripada rasa kurang puas hati Ivanka terhadap Melania.

Dalam satu artikel Vanity Fair yang memberikan fokus kepada kehidupan peribadi Melania, majalah itu mendakwa mendapat maklumat mengenai hubungan tegang tersebut.

Keputusan Melania untuk kekal berada di New York City bagi me­nunggu tahun akademik anak lelakinya, Barron, 11, ber­akhir di­sambut dengan perasaan kurang senang banyak pihak ketika Trump sudah berpindah ke Washington.

Ivanka pada masa sama mendiami rumah baharu di Kalorama bersama suami, Jared Kushner dan anak-anak.

Anak pertama Trump itu dijangka melawat Jerman minggu depan bagi mewakili Presiden dalam majlis memperingati mang­sa Holocaust.

Daripada menjadi individu pen­ting dalam syarikat terma­suk tampil dalam rancangan realiti The Apprentice dan pasukan sorak semasa kempen Presiden untuk bapanya, Ivanka merupakan penyokong terbesar Trump.

Oleh yang demikian, apabila Melania yang tidak hadir semasa kempen dan perhimpunan pilihan raya Presiden dan menjauhkan diri daripada tugas sebagai Wanita Pertama, Ivanka jelas menjadi pilihan bapanya bagi mengisi kekosongan tersebut.

Ahli perniagaan berusia 35 tahun itu sejak tampil dalam mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin China turut menemani Trump semasa lawatan Pangkalan Tentera Udara Dover dan me­nyambut ketibaan seorang pekerja kebajikan amal AS yang dibebaskan baru-baru ini di Pejabat Oval, White House,

Bagaimanapun Melania dilapor sudah bersedia ‘merampas’ semula peranannya di sisi Trump selepas beliau dilihat lebih kerap ber­ada di Washington dan me­nyertai suaminya semasa lawatan-lawatan rasmi.