Kehadiran mereka bukanlah melancong, tetapi demi mengabdikan diri kepada Allah melalui pelaksanaan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima.

Mereka datang dari seluruh pelosok dunia dan akan berkumpul secara serentak di Arafah pada hari wukuf yang dijadualkan pada 13 September ini.

Dalam usaha memastikan umat Islam mampu beribadah dengan sempurna, kerajaan Arab Saudi melakukan penambah­baikan dari segi infrastruktur khususnya pembesaran kawasan sekitar Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Kerajaan Arab Saudi bersedia mengeluarkan peruntukan yang besar bagi mengubah wajah Masjidilharam dengan matlamat untuk memberi keselesaan kepada umat Islam beribadah.


Video oleh ZULKIFLEE BAKAR

Walaupun sesetengah pihak luar mengkritik tindakan itu yang dianggap mengubah wajah asal Mekah khususnya, namun ia sama sekali tidak menjadi kudis kepada kerajaan Arab Saudi untuk meneruskan usaha murni tersebut.

Lanjutan itu projek memper­luas ruang ibadah di Masjidilha­ram dan Masjid Nabawi dilakukan dengan menelan belanja lebih RM63 juta, manakala enam projek hartanah juga kini dilaksanakan sekitar Masjidilharam dianggar melibatkan peruntukan RM46 bilion.

Bagi memastikan projek ber­kenaan berjalan lancar, 1,000 hartanah di kawasan Al-Shamiya dimusnahkan melibatkan pembayaran pampasan berjumlah kira-kira RM5.5 bilion.

Penulis yang berada di sini sejak 9 Ogos lalu mendapati kerja-kerja pembesaran Masjidilharam giat dijalankan, namun begitu keindahan sekitar Masjidilharam yang dilimpahi cahaya lampu, sama sekali tidak terjejas.

Meneliti satu demi satu projek yang dilaksanakan ia jelas membuktikan kerajaan Arab Saudi berusaha sedaya upaya untuk memastikan umat Islam yang datang ke Tanah Suci Mekah sama ada untuk menunaikan haji atau umrah dapat beribadah dengan sempurna.

Tragedi kren tumbang yang berlaku musim haji lalu juga sudah dilupakan, tiada jemaah yang memperkatakannya.

Tumpuan mereka adalah untuk beribadah kepada Allah SWT dalam keadaan pembesaran Masjidilharam rancak dijalankan.