Sebanyak dua klip video yang boleh ditonton di Internet dalam tempoh hampir 24 jam merakamkan perbuatan Wuttisan Wongtalay menggantung anak perempuannya di sebuah bangunan di Pulau Phuket, dekat selatan Thailand sebelum dia membunuh dirinya sendiri.

Jurucakap Timbalan Ketua Polis Thailand, Kissana Phatanacharoen berkata, pada masa akan datang, pihaknya mahu mana-mana kandungan atas talian yang tidak sesuai dipaparkan sama ada di Facebook, YouTube mahupun Instagram, dapat dibuang atau di­padamkan dengan cepat.

Bagaimanapun, masih tidak jelas tentang bagaimana tindakan itu boleh dilakukan.

Polis dilapor meminta Kementerian Ekonomi Digital untuk menghubungi Facebook supaya mengeluarkan video itu kira-kira pukul 5 petang semalam, hampir 24 jam selepas ia dimuat naik.

Video itu yang menarik hampir setengah juta tontonan sebelum ia dikeluarkan mencetuskan kemarahan masyarakat dan membangkitkan persoalan tentang bagaimana sistem aduan Facebook berfungsi dan bagaimana kandungan keganasan boleh dimuat naik dengan cepat.

Kes itu merupakan antara jenayah kejam terbaharu disiarkan Facebok di sebalik peratusan kecil mengenai klip sedemikian.

Semalam, mahkamah Sweden menjatuhi hukuman penjara ke atas tiga orang lelaki kerana merogol seorang wanita yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Sementara itu, Facebook bertindak menarik balik video pembunuhan terbabit daripada laman mereka kira-kira pukul 5 petang. – REUTERS