Mail Online melaporkan, perkara itu dilihat jauh berbeza dengan golongan pesara dan bukti tersebut diperkuatkan de­ngan kewujudan media sosial yang banyak memberi kesan dalam kehidupan serta kelakuan remaja masa kini.

Menurut pakar, kenalan maya di media sosial kini dianggap sebagai ‘rakan karib’ menggantikan ‘kehidupan realiti’ sekali gus mendedahkan golongan itu kepada penipuan dan penganiayaan.

Analisis baharu tentang kesunyian yang disediakan pertubuhan kaunseling, Relate mendedahkan, hasil tinjauan ke atas 5,000 orang responden mendapati, sebanyak tujuh juta orang dewasa atau 13 peratus penduduk Britain tidak mempunyai rakan karib.

Menurut penyelidik, jumlah itu menunjukkan peningkatan seba­nyak tiga peratus sejak soal selidik serupa dilaksanakan pada tahun 2015 dengan mendapati 10 peratus res­ponden hidup bersendirian.

Ini menunjukkan bukti kuat bahawa kebanyakan belia ketika ini sedang kesunyian.

Penyelidik mendapati, secara keseluruhan daripada 18 peratus atau satu perlima responden mendakwa mereka berasa sunyi sepanjang masa.

Bagaimanapun bagi res­ponden berusia 16 hingga 24 tahun atau bersamaan 32 peratus mendakwa mereka berasa sunyi sepanjang masa.

Statistik itu tiga kali lebih ba­nyak berbanding mereka yang berusia lebih 65 tahun atau 11 pe­ratus yang mendakwa mengalami gejala serupa.

Sementara itu seorang kaunselor, Barbara Bloomfield berkata, kemahiran berhubung yang dibangunkan belia penting kepada corak menjalin perhubu­ngan dalam kehidupan masa akan datang.

“Media sosial merupakan cara yang baik untuk sentiasa kekal berhubung dengan rakan namun tidak sepatutnya menggantikan corak berkomunikasi secara bersemuka.

“Saya nasihatkan belia supaya meninggalkan gajet mereka pada waktu petang dengan berjumpa rakan dan membuat perban­dingan bagaimana komunikasi menggunakan alam maya dan bersemuka,” katanya.