Pesawat Aseman Airlines EP3704 hilang daripada radar ketika melalui kawasan berkenaan 45 minit selepas berlepas dari lapangan terbang di Teheran.

Selepas dua hari terhalang akibat salji tebal dan kabus, ke­adaan cuaca yang bertambah baik pada awal pagi ini memboleh­kan pa­sukan helikopter mengesan rangka pesawat berkenaan.

“Helikopter pasukan penga­wal keselamatan pagi ini me­nemukan pesawat itu berhampiran gunung Dena.

“Sejak semalam, dron yang digunakan telah mengenal pasti kawasan di mana pesawat itu mungkin terhempas dan pagi ini dua buah helikopter tentera udara telah dihantar ke lokasi berkenaan,” kata jurucakap pa­sukan penyelamat, Ramezan Sharif.

Salah seorang juruterbang misi pencarian tersebut memberitahu melihat mayat bergelimpangan di sekeliling rangka pesawat yang dikesan di kampung Noghol, sekitar 4,000 meter dari gunung Dena.

Sebelum ini, kenderaan yang mampu bergerak dalam salji digunakan untuk sampai ke puncak gunung setinggi 4,409 meter itu selain disertai lebih 100 orang pendaki dalam pencarian ber­kenaan.

“Semalam, beberapa orang bermalam di gunung berkenaan untuk melakukan pencarian dengan bantuan oleh penduduk tempatan” kata Ketua Pusat Krisis Serantau, Mansour Shishefuroosh kepada agensi berita ISNA.

Semalam lebih 100 orang menyertai demonstrasi di luar pejabat kerajaan tempatan di daerah Dena Kooh, menuntut para pegawai meletak jawatan ekoran kegagalan mereka memberi maklumat jelas mengenai insiden tersebut.

Video yang disiarkan agensi berita Tasnim menunjukkan seorang lelaki yang marah berteriak ke arah Menteri Pengangkutan Jalan dan Pembangunan Bandar, Abbas Akhoundi sambil berkata, ‘Adakah anda pernah terbang dengan pesawat yang sama?

Iran berdepan dengan pelbagai kemalangan pesawat sejak beberapa dekad lalu dan Teheran menyalahkan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang menghalang­nya mengimport pesawat atau alat ganti baharu.–AFP/REUTERS