Para aktivis alam sekitar melahirkan rasa sedih terhadap kematian Agarwal yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan alam sekitar dari Universiti California, Berkeley.

Menurut salah seorang aktivis, Rakesh Jaiswal, kematian Agarwal bagaikan ‘menutup salah satu suara kritikan’ terhadap kerajaan berhubung pencemaran sungai terbabit.

“Beliau adalah tokoh yang paling menonjol dalam perjua­ngan ini,” katanya.

Sungai Ganges yang dianggap suci oleh penganut Hindu me­rupakan sungai terbesar yang paling tercemar malah Perdana Menteri, Narendra Modi semasa dilantik memimpin negara ini pada 2014 berikrar untuk membersihkan sungai sepanjang 2,526.6 kilometer itu.

Sungai tersebut digunakan oleh 400 juta penduduk dan kini ia semakin tercemar akibat sisa industri dan domestik.

Menurut para pengkritik, projek lima tahun pembersihan sungai itu yang dilancarkan Modi pada 2015 tidak menunjukkan sebarang perkemba­ngan.

Agarwal melancarkan mogok lapar pada 22 Jun lalu di bandar Haridwar menuntut agar diwujudkan undang-undang melindungi sungai itu dan menghentikan projek pembinaan hidroelektrik di sepanjang tebing sungai yang telah memusnahkan aliran sungai.

Melalui surat yang dikirim kepada Modi pada Ogos lalu, beliau mengugut untuk berpuasa sehingga mati kecuali jika tindakan diambil.

Sementara itu, Modi melalui Twitter berkata, pihaknya amat ‘sedih’ dengan kematian Agarwal.

Pengarah hospital AIIMS di bandar Hrishikes, Ravi Kant berkata, aktivis itu meninggal dunia akibat serangan jantung. – REUTERS