Trump semalam menyifatkan perbincangan tidak akan menjadi jalan penyelesaian terbaik bagi meredakan ketegangan yang berlaku.

“AS telah mengadakan perbicangan dengan Korea Utara serta membayar wang ‘peras ugut’ kepada mereka selama 25 tahun, jadi perbincangan bukanlah jalan terbaik untuk selesaikan konflik yang berlaku,” kata Trump menerusi Twitter.

Dalam pada itu, Mattis pula menyatakan bahawa AS tidak pernah mengambil langkah bukan diplomatik untuk menyelesaikan masalah dengan Korea Utara.

Jelas beliau, AS sentiasa cuba menjalin hubungan stabil dengan Korea Utara dan semua pihak dalam kerajaan AS akan bertanggungjawab untuk melindungi negara, rakyat serta kepentingan mereka.

Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera menerusi perbualan telefon dengan Mattis hari ini turut bersetuju untuk menekan Korea Utara secara ‘halus’ bagi mendesak negara itu supaya tidak melancarkan lebih banyak ujian peluru berpandu.

Perkara itu timbul selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak sederhana Hwasong-12 melepasi Jepun pada Selasa lalu.

Selain itu, Kementerian Pertahanan Jepun memerlukan dana sebanyak AS$160 juta (RM683 juta) untuk membangunkan peluru berpandu jarak jauh dan pantas, sekali gus dilihat memberi ancaman kepada Korea Utara.

Sekiranya dana itu diluluskan, ia akan membiayai pembangunan pertahanan peluru berpandu balistik, enam pesawat pejuang F-35, empat pesawat V-22 Osprey, selain menempah kapal angkatan laut baharu termasuk kapal selam dan dua kapal perang.

Dalam pada itu, sebanyak AS$90 juta (RM384 juta) daripada dana berkenaan akan digunakan untuk melakukan penyelidikan terhadap peluru berpandu hipersonik dan teknologi yang boleh dibangunkan untuk mencipta lebih banyak senjata perang.

Sementara itu, Korea Utara memberi amaran kepada Jepun bahawa kemusnahan bakal berlaku jika ia bekerjasama dengan AS.

Agensi berita KCNA yang memetik kenyataan Korea Utara melaporkan, Jepun sebenarnya tidak menyedari mereka berdepan dengan kemusnahan akibat bekerjsama dengan AS sambil merujuk kepada pasukan tentera AS yang kini berpangkalan di Hokkaido. – AGENSI