Majlis Wanita Islam dalam satu kenyataan menjelaskan, kenyataan kerajaan itu akan lebih meminggirkan masyarakat Islam yang dilihat membawa pengaruh negatif.

“Kami tidak bersetuju dengan kaitan kurang fasih berbahasa Inggeris dengan fahaman melampau,” jelas badan itu dalam satu kenya­taan.

Cameron kelmarin berkata, individu yang tidak lulus ujian bahasa Inggeris dalam tempoh dua tahun setengah tiba di negara ini, mungkin boleh dihalau keluar, yang me­rujuk kepada wanita Islam.

Jelas beliau, kegagalan bercakap dalam bahasa Inggeris boleh membuatkan seseorang terpengaruh dengan ideologi puak pelampau.

Cameron pada masa sama turut melancarkan dana pembelajaran bahasa Inggeris bernilai 20 juta pound (RM125 juta) untuk wanita di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Islam Britain, Shuja Shafi berkata, usaha Perdana Menteri itu tidak akan berjaya walaupun di peringkat awal sekiranya pemimpin tersebut sengaja mengaitkan kemahiran berbahasa ke arah pergaulan yang lebih baik dalam masyarakat.

“Masyarakat Islam hanya satu pertiga daripada penduduk minoriti di negara ini. Laporan pula menyatakan, pendatang Eropah Timur lebih bermasalah dalam berbahasa Inggeris di negara ini,” katanya.

Pengarah Eksekutif Jaringan Wanita Islam United Kingdom, Faeeza Vaid pula berkata, kegagalan berbahasa Inggeris dengan baik bukanlah satu-satunya punca wanita Muslim tidak boleh bersosial.

“Kita mempunyai masalah sosial yang lebih besar antaranya isu Islamofobia dan diskriminasi terhadap masyarakat Islam,” ujarnya. – REUTERS