Jurucakap polis, Lars Bystrom berkata, serangan di Pusat Islam Imam Ali pada malam semalam di Jakobsberg, utara Stockholm menyebabkan masjid itu rosak teruk.

“Dipercayai kebakaran bermula di luar masjid berkenaan,” katanya yang dipetik oleh portal Presstv.

Sementara itu, jurucakap masjid tersebut, Akil Zahari membe­ritahu stesen televisyen tempatan SVT, masjid itu dikunjungi oleh beribu-ribu umat Islam setiap hari.

Sejak kebelakangan ini, beberapa masjid di Sweden menjadi sasaran serangan namun setakat ini hanya beberapa individu telah ditahan.

Pada April tahun lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun dihukum penjara tiga tahun setelah didapati bersalah sengaja membakar sebuah masjid di bandar Boras.

Pada Januari 2015, anggota pertubuhan anti perkauman Sweden melancarkan bantahan selepas tiga serangan berturut-turut terhadap masjid di negara-negara Nordic.

Perancis dan beberapa negara Eropah telah menutup berpuluh-puluh masjid dan dewan solat sejak beberapa bulan lalu.

Sentimen kebencian itu termasuk peningkatan kumpulan berhaluan kanan yang menentang kemasukan pelarian yang melarikan diri daripada zon konflik di Afrika dan Asia Barat terutama Syria.