Pengasas masjid berkenaan, Sherin Khankan yang dilahirkan di Denmark berkata, walaupun kesemua aktiviti di Masjid Ma­riam itu dibuka kepada semua golongan, namun semua solat, kecuali solat Jumaat akan diimamkan oleh imam wanita, tidak lama lagi.

“Kami telah biasa dengan struktur patriarchal (penguasaan lelaki) dalam institusi agama kami, bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama Yahudi dan Kristian, dan agama-agama lain dan kami ingin mencabar situasi ini,” katanya.

Penubuhan masjid tersebut, bagaimanapun mendapat maklum balas positif daripada masyarakat Islam di bandar ini dan hanya segelintir yang memberi maklum balas negatif, dakwanya.

Sherin yang dikenali sebagai pengulas dan penulis di Denmark berkata, tradisi Islam telah membenarkan seorang wanita menjadi imam dan kebanyakan kritikan sebenar berpunca daripada kejahilan seseorang.

Katanya, masjid sama turut dibuka di beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Jerman.

Sementara itu pengerusi sebuah daripada masjid besar di Copenhagen, Iman Waseem Hu­ssein mempersoalkan penubuhan masjid itu dan mempertikaikan keperluan projek tersebut.

“Sekiranya kami juga membuat masjid untuk lelaki sahaja, pasti ia akan mendapat bantahan daripada penduduk di sini,” ujarnya kepada akhbar Politiken.

Akhbar tersebut melaporkan lokasi masjid berkenaan dirahsiakan berikutan faktor keselamatan.

“Kami tidak menerima sebarang ancaman,” ujar Sherin, sambil menambah kata, dia mahu bekerjasama dengan semua pihak dalam masyarakat Islam.

Bagaimanapun, solat Jumaat yang pertama masih belum diadakan di masjid itu berikutan dua jawatan imam wanita daripada lapan imam wanita masih belum diisi. AFP