Tiada yang dilaporkan cedera dalam serangan di Pusat Islam Dar Al Farooq di Bloomington itu, namun polis mengesahkan pejabat imam masjid tersebut musnah ekoran letupan bom buatan sendiri yang dilempar di kawasan itu.

Ejen Khas Bahagian Minneapolis, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Richard Thorton berkata, pihaknya telah menggerakkan siasatan ke atas serangan tersebut bagi menahan pihak yang bertanggungjawab dan menentukan sama ada insiden itu melibatkan jenayah kebencian.

Pengarah Persatuan Muslim Amerika Minnesota, Asad Zaman memberitahu, seorang saksi melihat bahan letupan dilemparkan di tingkap pejabat imam daripada sebuah van yang lalu di kawasan itu sebelum melarikan diri.

Portal berita Al-Jazeera me­laporkan, umat Islam yang berada di dalam masjid bertungkus lumus memadam kebakaran dan api berjaya dikawal sebelum anggota bomba tiba.

Pengarah Eksekutif Pusat Islam Dar Al Farooq, Mohamed Omar berkata, kebanyakan masjid di negara ini telah menerima panggilan dan e-mel berbaur ugutan sejak beberapa bulan lalu.

“Saya terkejut mengetahui perkara ini berlaku. Kami datang ke negara ini dengan harapan mempunyai kebebasan untuk beribadah. Tetapi kebebasan itu berada di bawah ancaman. Ini sesuatu yang amat mengecewakan,” kata seorang jemaah masjid tersebut, Yasir Abdalrahman.

Sementara itu, Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) menggesa pusat-pusat Islam dan masjid-masjid di seluruh negara untuk meningkatkan kawalan ke­selamatan bagi mengelak perkara sama berulang.

CAIR dan masjid berkenaan turut menawarkan bayaran berjumlah AS$10,000 (RM42,770) kepada individu yang tampil memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan atau sabitan terhadap insiden tersebut.