Stuff New Zealand melaporkan, Pesuruhjaya Polis, Mike Bush berkata, pihaknya mengenal pasti lokasi serangan seterusnya selepas suspek bertindak menyerang masjid di Deans Avenue dan Linwood.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lokasi 'ketiga' berkenaan.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan 21 minit selepas polis menerima panggilan kecemasan 111 ketika suspek memandu di Brougham Street.

Melalui manifesto yang disiarkan sebelum melakukan serangan, suspek menyatakan rancangannya berubah selepas 'berada' di masjid di Christchurch serta Linwood dan melihat sasaran masjid di Ashburton di Mid Canterbury yang dahulunya adalah sebuah gereja.

Suspek juga menyatakan tidak pasti sama ada dapat tiba ke Ashburton.

Presiden Komuniti Islam Ashburton, Mohamed Diab memberitahu, pihaknya dimaklumkan Ashburton berada dalam sasaran pada pukul 2.30 petang Jumaat lalu.

Beliau kemudiannya menghubungi pihak polis.

Perasaan lega muncul selepas diberitahu suspek telah ditahan.

Bagaimanapun, ramai jemaah masih melahirkan rasa bimbang dengan tahap keselamatan.

Masjid itu ditutup sehingga Isnin ini.-UTUSAN ONLINE