Stuff New Zealand melaporkan, Gamal merupakan antara kumpulan pertama yang dibenarkan memasuki ke masjid tersebut sekitar pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan.

Ali Mustafa, seorang wartawan dari Turki turut menyertai kumpulan berkenaan berkata, Gamal mengetuai bacaan doa yang diadakan di dalam masjid ketika pihak berkuasa keselamatan menyerahkan kembali masjid kepada komuniti Islam, selepas ditutup untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata: "Situasi di dalam masjid penuh emosional. Imam (Gamal) membawa bendera New Zealand yang ada tompokan darah, saya tidak tahu dari mana Imam mendapatkannya, mungkin dari dalam masjid.

"Imam memberikan sedikit ucapan, sama seperti khutbah Jumaat semalam, tiada tempat bagi kebencian dan keganasan di bumi New Zealand."

Terdahulu, polis membuka semula laluan di Deans Avenue kepada awam dan mengalihkan halangan di kawasan berkenaan.

Namun, pihak polis masih menempatkan anggotanya di dua buah masjid yang menjadi sasaran serangan pengganas minggu lalu dan masjid-masjid seluruh New Zealand.