Russia Today yang memetik sumber melaporkan, juruterbang berkenaan bercadang me­lakukan pendaratan cemas di sebuah lapangan terbang di Zhukovsky.

Malangnya, pesawat itu tidak sempat mendarat dan terhem­pas di pinggir Moscow.

Pasukan penyelamat telah me­nemukan kotak hitam milik pesawat tersebut di lokasi kejadian dan setakat ini, kira-kira 50 mayat mangsa sudah ditemukan.

Menurut Menteri Kecemasan Rusia, Sergey Poletykin, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan dengan kawa­san nahas kini dipantau sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Lampu dipasang di kawasan nahas bagi memboleh­kan pasukan keselamatan mela­kukan operasi mengeluarkan mayat mangsa.

Wartawan Russia Today, Murad Gazdiev yang berada di lokasi kejadian memberitahu, pihak berkuasa tidak membenarkan ma­na-mana pihak yang tidak berkenaan memasuki kawasan nahas itu untuk mengelak gangguan terhadap penyiasatan yang dijalankan.

“Terdapat banyak ambulans dan jentera bomba di kawasan kejadian, selain saya turut dimaklumkan oleh anggota kese­lamatan bahawa peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup adalah amat tipis.

“Pasukan keselamatan tiba di lokasi nahas sebaik dimaklumkan oleh penduduk tempatan dengan serpihan bangkai pesawat bertaburan ke kawasan sehingga satu kilo­meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Seorang ejen saham, Maksim Kolomeitsev menarik nafas lega kerana terselamat daripada menjadi mangsa nahas tersebut selepas membatalkan tiket penerbangan kera­na masalah yang tidak dapat dielak.

Beliau dijangka menaiki pesawat itu untuk pulang ke rumah bagi meraikan sambutan hari jadinya bersama-sama keluarga.

Sementara itu, dunia melahirkan rasa sedih de­ngan kejadian yang ber­­laku dan pe­mimpin negara menzahirkan ucapan takziah mereka.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri, Dmitry Medvedev menyatakan rasa sedih terhadap kejadian yang berlaku dan mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung di seluruh negara.

Kebanyakan negara dunia termasuk Amerika Syarikat, Mesir, Perancis dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­­satu, Antonio Guterres mera­kam­kan ucapan takziah kepada Rusia dan keluarga mangsa nahas tersebut.