Namun kini, garis pantainya bagaikan ‘hilang seri’ dengan timbunan sampah-sarap di sebalik plastik serta bungkusan makanan berselerak di tepi pantai.

“Apabila saya mahu berenang, keadaan tidak begitu baik. Saya nampak banyak sampah di sini setiap hari.

“Sampah-sarap ini dihanyutkan ke pantai, amat ‘mengerikan’,” kata seorang pelancong dari Austria, Vanessa Moonshine.

Sering digelar sebagai ‘syurga Bumi’, kawasan percutian utama Indonesia itu kini amat memalukan bagi sistem pengurusan sampah.

Negara yang memiliki lebih 17,000 pulau ini dilaporkan negara kedua terbesar selepas China penyumbang sampah di laut de­ngan perkiraan 1.29 juta metrik tan sampah dihasilkan setahun.

Sampah plastik yang memenuhi sungai dan lautan telah menyebabkan masalah selama bertahun-tahun seperti saluran air tersumbat di kota-kota, me­ningkatkan risiko banjir dan menyebabkan kecederaan serta kematian hidupan laut.

Masalah itu semakin memburuk di Bali yang mengisytiharkan ‘darurat sampah’ di sepanjang enam kilometer kawasan pantai termasuk pantai-pantai popular di Jimbaran, Kuta dan Seminyak.

Pihak berkuasa juga telah mengerahkan 700 pekerja pembersihan dan 35 trak untuk membersihkan kawasan pantai dan mengangkut sampah ke tapak pelupusan berdekatan.

“Pekerja pembersihan yang mengenakan baju hijau me­ngumpul sampah setiap hari tetapi keesokannya situasi sama berlaku. Tiada siapa yang mahu duduk di tepi pantai dan menghadap semua sampah ini,” kata Claus Dignas dari Jerman. – AFP